Datuk Seri Azmin Ali
Datuk Seri Azmin Ali. foto FAREEZ FADZIL, 18 JUN 2019

SHAH ALAM – Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mengesahkan telah memberi keterangan kepada polis berhubung penyebaran video intim miripnya, semalam.

Mohamed Azmin selaku Menteri Hal Ehwal Ekonomi berkata, keterangan itu dirakamkan oleh pihak polis sekembalinya dari Pulau Pinang selepas menghadiri beberapa program melibatkan kementeriannya, Ahad lalu.

“Saya telah menyatakan sebelum ini bahawa akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan di atas dakwaan beliau (Haziq).

“Pada Ahad lepas saya dimaklumkan polis telah menghubungi pegawai saya untuk merakamkan keterangan. Namun pada Ahad saya berada di Pulau Pinang untuk beberapa program.

“Semalam pihak polis telah merakamkan keterangan daripada saya berhubung laporan polis yang dibuat oleh Setiausaha Politik saya, saudara Hilman dan beberapa orang telah dipanggil,” katanya pada sidang media di Dewan Jubli Perak, Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (SSAAS), di sini, hari ini.

Terdahulu, peguamnya, N Surendran dalam satu kenyataan semalam memaklumkan anak guamnya, Mohamed Azmin sudah telah memberi keterangan kepada polis berhubung video seks yang dikaitkan dengan dirinya.

Surendran mengesahkan polis telah menghubungi Mohamed Azmin pada pada Ahad lalu dan timbalan presiden PKR itu telah memberi kenyataan kepada polis semalam.

Mohamed Azmin ketika dirakamkan keterangan oleh pihak polis telah mengulangi pendirian bahawa video intim berkenaan adalah ugutan politik terhadapnya sambil menyifatkan ia sebagai fitnah berniat jahat.

“Saya telah mengambil tindakan untuk membersihkan nama saya, selain daripada laporan qazaf, laporan polis, dan juga tindakan-tindakan lain yang mungkin diberikan nasihat oleh peguam saya.

“Dari awal saya yakin ini agenda politik orang-orang tertentu yang bertujuan untuk menyekat kemaraan prestasi saya dalam kerajaan pada hari ini dan dalam politik,” katanya lagi. – MalaysiaGazette