Prof Dr D Kamaruddin D Mudin.

KOTA KINABALU – Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof. Datuk Dr D Kamaruddin D Mudin mengesahkan khabar angin tentang tempoh perkhidmatannya dipendekkan.

Katanya, tempoh perkhdimatannya dipendekkan sehingga 29 Julai ini.

Bercakap di majlis Sesi Khas Naib Canselor Bersama Ketua Pusat Tanggungjawab (PTJ), Dr D Kamaruddin berkata, beliau tiada pilihan selain terpaksa untuk mengumumkan perkara tersebut lebih awal bagi mengelakkan lebih banyak khabar angin negatif terus didengar oleh masyarakat khususnya warga universiti.

“Perkara ini perlu dijelaskan bagi menangkis gosip-gosip liar oleh pihak-pihak tertentu yang berkepentingan dan saya berharap agar setiap kakitangan tidak terpengaruh dengan perubahan ini dan meneruskan tanggungjawab masing-masing.

“Berkaitan keputusan pemendekkan tempoh tersebut, saya akur dengan keputusan Menteri Pendidikan Malaysia, Dr Maszlee Malik dan percaya bahawa keputusan yang dibuat secara profesional dengan mengambil kira kepentingan universiti,” katanya.

Menurut Dr. D Kamarudin lagi, perubahan pengurusan dalam organisasi kerajaan adalah satu proses biasa dalam kerajaan Malaysia Baharu dan pengurusan universiti sentiasa akur dan menerima keputusan dari kementerian.

“Cuma sebelum ini segala perancangan saya untuk memantapkan lagi UMS, termasuklah aspek tadbir urusnya adalah perancangan bagi tempoh tiga tahun (sehingga tahun 2020), justeru walaupun tempoh saya dipendekkan, saya berharap agar setiap perancangan yang diusahakan sebelum ini akan diteruskan oleh para kakitangan akademik dan pentadbiran UMS.

“Perubahan seperti kajian semula kurikulum perlu diteruskan kerana kita mahu melahirkan para graduan yang dilengkapi dengan ilmu dan kemahiran serta sedia memenuhi pasaran kerja semasa, dan ini sekali gus menyumbang kepada keboleh pasaran graduan UMS,” tambahnya.

Dr. D Kamarudin berharap agar bakal Naib Canselor UMS adalah seorang yang lebih baik daripada beliau dan berintegriti tinggi.

“Saya juga berharap agar isu pemilihan Naib Canselor UMS ini tidak dipolitikkan oleh pihak-pihak tertentu yang mempunyai agenda tersendiri dan akur terhadap setiap keputusan kementerian.

“Kita sebagai kakitangan universiti harus bersikap lebih profesional terutamanya dalam soal pelantikan jawatan tertinggi pentadbiran dan tidak cuba bermain politik dengan menyokong individu-individu tertentu demi kepentingan peribadi yang akhirnya bukan sahaja menyebabkan perpecahan dalam kalangan warga universiti, tetapi turut memberi satu contoh atau budaya yang tidak baik kepada para siswa-siswi universiti,” ujar beliau. – MalaysiaGazette