Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berucap pada Sidang Kemuncak Keusahawanan dan Ekonomi Asia di Palace of the Golden Horses, Seri Kembangan, Selangor. foto SYAFIQ AMBAK, 20 JUN 2019

SERI KEMBANGAN- Kementerian Hal Ehwal Ekonomi telah memulakan sesi konsultatif menyeluruh yang membabitkan semua pemegang taruh bagi merangka Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12).

Menterinya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, sesi rundingan itu melibatkan semua pihak termasuk semua kerajaan negeri, komuniti perniagaan, badan-badan bukan kerajaan, agensi dan rakyat.

“Ini merupakan proses yang penting terutama dalam persekitaran ekonomi yang mencabar ketika ini.

“Saya boleh katakan dalam tempoh enam bulan akan datang, kami akan betul-betul sibuk,” katanya kepada pemberita di sini malam tadi.

Jelas Mohamed Azmin, RMK12 akan memberi fokus antaranya untuk mengubah landskap ekonomi negara daripada industri berintensifkan buruh dan sangat bergantung kepada pekerja asing kepada teknologi terkini, robotik, automasi dengan membangunkan bakat-bakat tempatan.

Tambah beliau lagi, kerajaan mahu anak-anak muda di negara ini dapat melibatkan diri di dalam bidang-bidang baharu tersebut sejajar dengan Revolusi Industri 4.0 yang baharu sahaja dilancarkan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad awal tahun ini.

Terdahulu dalam ucapannya, Mohamed Azmin berkata, RMK12 juga dirangka untuk memacu produktiviti negara supaya mampu membiayai jurang pertumbuhan ekonomi.

Ia juga akan mempersiapkan rakyat Malaysia supaya dapat turut serta dalam ekonomi yang kompleks.- MalaysiaGazette