Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali bercakap kepada media selepas Majlis Silaturrahmi Aidilfitri Kementerian Hal Ehwal Ekonomi di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 24 JUN 2019.

KUALA LUMPUR – Ekosistem dan perniagaan dalam sektor minyak dan gas perlu distruktur semula supaya kekal relevan dan berdaya saing.

Menurut Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Kajian Pelan Tindakan Perkhidmatan dan Peralatan Minyak dan Gas (OGSE) akan dimasukkan dalam Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) yang sedang disediakan sekarang.

Ini katanya adalah untuk meningkatkan daya saing pemain industri tempatan di samping mencari jalan untuk mengukuhkan dan melestarikan industri tersebut dalam jangka masa panjang.

“Berada dalam arus perdana ekonomi global, Malaysia perlu kekal pantas dan sentiasa mampu meramalkan perubahan luaran yang setiasa berubah-ubah dan mencabar.

“Impak terhadap realiti industri baharu akan dirasai dari segenap penjuru, daripada model-model ekonomi masa hadapan kepada modal insan dan kemahiran baharu untuk mengadaptasi teknologi terkini.

“Tekanan bersifat distruktif dan trend masa hadapan akan menyebabkan syarikat-syarikat perlu melihat semula model-model perniagaan mereka dan mencari strategi-strategi yang mampu untuk menjadikan syarikat-syarikat tersebut kekal berdaya saing,” katanya ketika menyampaikan perutusan khas sempena Persidangan Minyak dan Gas Asia ke-20 2019 di ini hari ini.

Dalam pada itu, Mohamed Azmin sekali lagi mengulangi komitmen kerajaan terhadap isu pemeliharaan alam sekitar dan kelestarian dengan menghormati ikrar yang telah dibuat sebelum ini untuk mengurangkan kesan karbon.

Katanya, kerajaan telah menggariskan strategi dalam Semakan Pertengahan Penggal RMK11 untuk meningkatkan penjanaan kuasa tenaga diperbaharui kepada 20 peratus menjelang 2025.

Bagaimanapun, menurut beliau, gas asli akan kekal sebagai bahan api pilihan utama kerana ia merupakan bahan api fosil yang paling bersih di dalam memacu pertumbuhan ekonomi menuju negara rendah karbon. – MalaysiaGazette