KUALA LUMPUR – Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bawah Gabungan Membantah PPSMI dan Program Dwibahasa (DLP) tidak teragak-agak untuk mengadakan himpunan besar-besaran sekiranya kerajaan menerusi Kementerian Pendidikan tidak akur dengan tuntutan mereka menolak pelaksanaan program itu.
Timbalan Pengerusi Gerakan Pembela Ummah, Kamaruzaman Mohamad menegaskan, pihaknya kecewa dengan pemimpin kerajaan Pakatan Harapan (PH) sekarang yang pada tahun 2009 bermati-matian menentang pelaksanaan PPSMI.
Ujar beliau, pemimpin itu yang kini sudah menjawat jawatan penting dalam kerajaan, dahulu sanggup baring di jalan raya, menahan diri dari semburan air (water cannon) oleh pasukan keselamatan semata-mata membantah PPSMI.
Bagaimanapun, katanya, pihaknya kesal apabila orang yang sama pula berjuang habis-habisan mahu memastikan PPSMI dapat dilaksanakan.
“Tahun 2009, mereka berarak sepanjang jalan raya membantah PPSMI, tapi kenapa hari ini orang yang sama nak laksanakan?
“Bertindaklah secara waras dan sedarlah apa yang mereka lakukan itu seolah mengundang malapetaka 2009 berulang,” katanya pada sidang media Menolak Pelaksanaan PPSMI di Wisma MPM di sini, hari ini.
Sebanyak 11 NGO bawah Gabungan Membantah PPSMI dan Program Dwibahasa (DLP) menyatakan bantahan mereka kepada kerajaan dan Kementerian Pendidikan kerana dikatakan ada usaha untuk menghidupkan semula program yang dicetuskan Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Berhubung bantahan itu, Kamaruzaman berkata, pihaknya mahu Perdana Menteri sendiri menjelaskan.
“Kita tidak mahu Menteri Pendidikan (Dr. Maszlee Malik) yang memberi jawapan dalam bentuk dolak dalih dan tidak ada kepastian untuk tidak melaksanakan PPSMI.
“Kami difahamkan, wakil gabungan ini, Prof. Datuk Dr. Sariyan Awang ada berdialog dengan Dr. Maszlee menerusi Facebook mengenai hal ini, tetapi menteri itu memberi jawapan yang mendukacitakan.
“Kita hendak memberi peringatan kepada kerajaan, kami tanpa ragu-ragu akan mengadakan himpunan besar-besaran untuk membantah, dan mana-mana pihak yang hendak meminggirkan bahasa Melayu, kami tidak teragak-agak menentangnya,” kata beliau. – MalaysiaGazette