Noraini Ahmad

KUALA LUMPUR – Kerajaan dikritik tidak serius dalam menangani isu pencemaran gas yang berlaku di Pasir Gudang, Johor kerana perkara sama berlaku sebelum ini beberapa bulan lalu sehingga mengundang kebimbangan dalam kalangan penduduk setempat malah rakyat secara amnya.

Ketua Wanita UMNO, Datuk Dr. Noraini Ahmad dalam kenyataan menyalahkan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) kerana isu sama berulang kembali di negeri tersebut.

Noraini yang juga merupakan Ahli Parlimen Parit Sulong berkata, pencemaran ini kembali berulang tidak sampai dalam beberapa bulan sahaja kerana kerajaan tidak langsung serius dalam menangani perkara tersebut seperti yang sepatutnya.

“Pihak yang berkenaan tahu sisa bahan kimia itu terbiar di Pasir Gudang tetapi langsung ambil tindakan yang sewajarnya bahkan tidak melakukan pemantauan supaya ianya dilupuskan dengan baik.

“Akibat kecuaian ini, para pelajar kita dari Sekolah Kebangsaan Pasir Gudang 4 dan Sekolah Agama Taman Mawar menalami sesak nafas, loya dan muntah akibat pencemaran daripada bahan kimia tersebut sekitar Pasir Gudang sejak 20 Jun lepas.

“Impak pencemaran udara itu telah memberi kesan buruk sehingga menyebabkan sebanyak 16 buah sekolah yang berada dalam jajaran kawasan kejadian ditutup serta merta bermula 24 Jun hingga 27 Jun dengan 31 mangsa, jangan pandang mudah,” katanya.

Sebelum ini, Sungai Kim Kim yang dicemari toksik pada 7 Mac lalu menjejaskan hampir 6,000 penduduk termasuk pelajar sekolah sehingga 111 sekolah di Pasir Gudang, dekat sini, diarahkan ditutup sementara.

Sebanyak 900 tan tanah tercemar bersama selut dan 1,500 tan air tercemar daripada dasar sungai berkenaan juga terpaksa dikumpul sebelum dilupuskan oleh kontraktor yang dilantik kerajaan. –MalaysiaGazette