Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Shaharuddin Khalid (tengah) bersama pegawai menunjukkan antara nombor yang dibida pada sidang media mengenai bidaan nombor pendaftaran kenderaan di Kementerian Pengakutan, Putrajaya. foto SYAFIQ AMBAK, 27 JUN 2019

PUTRAJAYA – Nombor plat kenderaan VDN 1 mendapat bidaan tertinggi pada harga RM158,000 yang dilakukan oleh individu dikenali, Tan Vin Shyan.

Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Seri Shaharuddin Khalid, plat kenderaan siri VDN merekodkan transaksi berjumlah RM1.31 juta selepas jabatan itu memperkenalkan bidaan dalam talian, eBidJPJ.

“Sebelum ini segala bidaan nombor plat kenderaan dilakukan secara manual di kaunter dan sejak bermulanya siri VDH hingga VDM merekodkan transaksi sejuta ringgit lebih menerusi transaksi bidaan manual.

“Bermula 3 hingga 7 Julai kita akan memulakan bidaan nombor plat kenderaan siri VDP dan setiap minggu akan dibuka eBidJPJ for WPKL selepas ini,” katanya sambil menambah bidaan nombor plat VDN bermula pada 21 hingga 26 Jun lalu.

Beliau menyatakan  demikian pada sidang media mengenai bidaan tertinggi untuk nombor plat kenderaan utama, nombor menarik dua digit dan tiga digit siri VDN di Kementerian Pengangkutan.

Bagi siri nombor plat VDN, sebanyak 2,191 resit bidaan bernilai RM21,910. Ia melibatkan seramai 903 pembida tetapi hanya 463 pembida yang berjaya manakala 9,536 nombor tidak dibida.

Justeru katanya, seramai 10 orang telah membida untuk nombor bernilai utama satu digit (VDN1), manakala sembilan orang pembida untuk dua digit (VDN18) tetapi dimenangi dengan bidaan tertinggi RM10,000, 7 pembida untuk (VDN111) dengan bidaan tertinggi RM7,999, enam pembida untuk VDN118 dengan bidaan tertinggi bernilai RM5,305 dan VDN188 menerima 6 pembidaan dengan bidaan tertinggi RM1,280.

Menurutnya, nombor pendaftaran yang berjaya dibida mesti didaftarkan pada sebuah kenderaan dalam tempoh 12 hari daripada tarikh surat tawaran dikeluarkan di Pejabat JPJ negeri atau cawangan.

Sistem eBidJPJ katanya, tidak melibatkan sebarang masalah semasa transaksi bidaan berlaku kerana JPJ bekerjasama dengan agensi kewangan untuk melicinkan proses pembayaran sepanjang proses pembidaan.

Menurut beliau, pihaknya mencatatkan transaksi tertinggi, iaitu 8,600 transaksi sesaat dalam tempoh lima hari bidaan.

“Pada hari terakhir bidaan sehingga 11.59 malam, 5 petang rekodkan RM78,000, pada jam 11.59 malam naik bidaan kepada RM158,000 dengan 8,600 transaksi kewangan antara 6 petang hingga 11.59 malam itu (26 Jun 2019),” katanya.

Malah jelasnya, baki nombor pendaftaran yang tidak dibida akan dibuka kepada orang awam dan ia dijual mengikut harga minimum seperti yang dikuatkuasakan JPJ.

Ujarnya, orang awam yang berminat untuk mendapatkan baki nombor pendaftaran itu boleh berurusan di pejabat JPJ Negeri atau Cawangan selain disaran memiliki Identiti mySIKAP awam untuk mendapatkan senarai nombor semasa yang belum didaftarkan dan seterusnya membeli secara atas talian.

“Namun mereka perlu tampil ke ibu pejabat JPJ untuk melakukan pembayaran terus di kaunter untuk membayar dan memerlukan kelulusan KP JPJ manakala untuk negeri dan cawangan pengarah JPJ negeri diperlukan kelulusan.

“Untuk nombor bernilai utama (satu digit) RM20,000 ditetapkan sebagai harga bayaran tawaran (ibu pejabat JPJ), RM3,000 untuk nombor dua gigit,(ibu pejabat JPJ), RM2,500 untuk nombor menarik tiga digit berurusan di Ibu Pejabat dan WPKL.

“Bagi nombor popular empat digit RM2,000 ditetapkan sebagai bayaran tawaran, RM500 untuk nombor popular dan RM300 untuk nombor semasa (Running Number) yang boleh berurusan di mana-mana kaunter pejabat JPJ Negeri/cawangan atau mySIKAP,” tegasnya lagi.