PETALING JAYA – Pertubuhan Solidariti Tindakan Generasi Muda Malaysia (STIGMMA) mendesak Datuk Seri Mohamed Azmin Ali meletakkan jawatan menteri bagi menjaga nama baik kerajaan Pakatan Harapan (PH).
Pengerusinya, Muhammad Badrul Amin Abdul Salam berkata, walaupun pihak polis masih menyiasat video seks luar tabii mirip Mohamed Azmin namun langkah itu perlu agar tidak membebankan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.
“Kami ingin menyatakan sokongan kepada kepimpinan Tun M. Kami berpendapat bahawa pentadbiran kerajaan di bawah Tun M perlu bebas daripada skandal-skandal yang melibatkan menteri-menteri beliau.
“Ini termasuklah dakwaan video seks songsang menyerupai Azmin Ali,” katanya pada sidang media di pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya petang tadi.
Baru-baru ini tular satu lagi video seks luar tabii dipercayai milik Haziq dan lelaki yang didakwa Mohamed Azmin selaku Timbalan Presiden PKR yang disebarkan melalui aplikasi Whatsapp.
Kali ini video berkenaan dipaparkan terus ke dalam YouTube dan dapat ditonton secara umum serta lima pautan lain melibatkan satu website lucah antarabangsa.
Pada 12 Jun lalu, Haziq tampil mengaku dirinya merupakan salah seorang individu dalam klip video seks luar tabii yang tular serta mendakwa individu bersamanya adalah Mohamed Azmin.
Muhammad Badrul Amin juga menggesa pihak polis menyiasat dakwaan itu sama ada benar atau sebaliknya kerana adalah satu perbuatan terkutuk dan dilarang dalam Islam.
“Pihak polis perlu memanggil Haziq yang mengaku sebagai pelaku dan mendakwa Mohamed Azmin sebagai pasangannya di dalam video itu untuk memberi keterangan.
“Jika ia benar melibatkan Mohamed Azmin, kami mendesak agar beliau bertanggungjawab untuk meletak jawatan dan tidak membebankan Mahathir,” katanya.
Beliau turut mendesak pihak polis mengenal pasti dalang penyebaran video seks songsang itu kerana ia telah memecahbelahkan keharmonian dan menjatuhkan maruah pemimpin negara.
“Kami dari STIGMMA hanya inginkan keharmonian dan keamanan negara ini terus dipelihara dan terhindar daripada anasir-anasir luar yang jahat dan boleh mengancam keselamatan negara,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















