KUALA LUMPUR – Sambil menyambut baik usul mewajibkan semua Ahli Parlimen mengisytiharkan harta masing-masing yang lulus sebulat suara, Centre to Combat Corruption and Cronyism (C4) mengkritik segelintir wakil pembangkang.

Pengarah Eksekutif C4, Cynthia Gabriel dalam kenyataan hari ini menyelar sikap segelintir pimpinan pembangkang yang menggunakan agama bagi menolak usul pengisytiharan harta sebenarnya dianggap memalukan.

Malah Cynthia melahirkan rasa hairan terdapat wakil pembangkang yang menyokong kenyataan Ahli Parlimen Kubang Kerian (Pas), Tuan Ibrahim Tuan Man pengisytiharan harta bercanggah dalam Islam.

“Sikap ahli-ahli Parlimen ini sangat memalukan dan bertentangan dengan nilai-nilai demokrasi, ingin kami tegaskan dalam sebuah negara demokratik rakyat sebenarnya mempunyai hak untuk tahu dan mendapatkan maklumat berkenaan harta dimiliki oleh wakil rakyat mereka.

“Ini juga sekaligus dalam memastikan mereka berkhidmat dengan penuh amanah, telus dan mempunyai integriti tinggi. Sepatutnya Ahli Parlimen pembangkag menyokong pengisyitiharan harta dan berhenti menggunakan agama untuk melindungi mereka daripada dipantau rakyat.

“Semua agama menitikberatkan sikap amanah dalam melaksanakan tanggungjawab kepada rakyat dan seharusnya wakil rakyat tidaklah takut seandainya gaya hidup mereka itu sebenarnya berlandaskan agama,” katanya dalam kenyataan sebentar tadi.

Cynthia mengulas kenyataan Tuan Ibrahim bahawa Islam melarang umatnya mengisytiharkan harta kepada orang ramai kerana ia boleh mengundang perasaan dengki.

Tuan Ibrahim turut mempersoalkan tujuan usul itu dilakukan kerana negara ini jelas mempunyai undang-undang berhubung harta dan pendapatan seseorang.

“Apa asas isytihar harta, negara kita ada undang-undang, ada undang-undang cukup, lagipun semua hasil mesti dilaporkan ke Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN). Tidak ada keperluan ada akta itu,” tegasnya.

Dewan Rakyat semalam sebulat suara meluluskan usul mewajibkan semua Ahli Parlimen, termasuk pembangkang mengisytiharkan harta masing-masing.

Usul dikemukakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong dan disokong Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr Xavier Jayakumar, diluluskan selepas dibahaskan 26 Ahli Parlimen.

Selepas Vui Keong menggulung usul berkenaan, Speaker Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md Yusof, memaklumkan usul itu diluluskan sebulat suara tanpa sebarang bantahan termasuk daripada Ahli Parlimen pembangkang. – MalaysiaGazette