KUALA LUMPUR – Kerajaan Johor masih leka dengan kejadian pertama dan kedua pencemaran udara di Pasir Gudang sehingga terbaharu mencetuskan gelombang ketiga pada Ahad lalu.

Sikap ‘tidak berbuat apa-apa’ kerajaan negeri termasuk Kementerian Kesihatan berhubung kejadian itu menimbulkan tanda tanya adakah kerajaan tidak mempunyai pengetahuan atau pengalaman dalam mengatasinya.

Ketua Wirawati Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Dr. Asmah Razalli berkata, beliau terkejut apabila satu demi satu kejadian itu masih berlaku dan berulang dalam tempoh satu bulan.

Terkini, katanya lebih 130 pelajar terjejas termasuk seorang guru sesak nafas, pening dan pitam bermula kira-kira jam 8 30 pagi kelmarin apabila sebaik memasuki sesi persekolahan minggu terakhir Jun.

Kata beliau, seramai 30 pelajar terpaksa dirujuk ke Klinik Kesihatan Masai dan Klinik Kesihatan Pasir Gudang.

“Terlalu malang, ia seperti gelombang ketiga, setelah gelombang kedua berlaku pada 20 Jun lalu.

“Kejadian ini disyaki sisa pencemaran gas kimia yang disahkan mengandungi metil merkaptan dan Akrinonitril masih menyelubungi udara di Pasir Gudang.

“Anak-anak tidak berdosa ini datang mahu menimba ilmu, tetapi sekali lagi dikecewakan dengan masalah keracunan kimia yang akut,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, hari ini.

Ahad lalu, negara sekali lagi digemparkan dengan kejadian pencemaran udara yang membabitkan 30 pelajar dan guru daripada 15 sekolah di Pasir Gudang dirujuk ke klinik kesihatan berikutan mengalami simptom muntah dan pening-pening.

Bagaimanapun, semua 111 sekolah rendah dan menengah di Pasir Gudang akan tetap dibuka walaupun terdapat puluhan kes pelajar mengalami sesak nafas, pening dan muntah-muntah.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kebudayaan dan Warisan Johor, Mohd Khuzzan Abu Bakar, kebanyakan pelajar yang mengalami simptom berkenaan adalah yang berada di tingkat atas.

Beliau yang merupakan ADUN PKR Semerah itu turut berkata, seramai 130 pelajar yang didapati mengalami gangguan kesihatan berkenaan, tetapi selepas saringan hanya 30 orang termasuk tiga orang guru dirujuk ke Klinik Kesihatan Masai dan Pasir Gudang.

Jelas Dr. Asmah, Wirawati Putra sebelum ini pernah menyatakan kekhuatiran kesan akut dan kronik jangka panjang ke atas penduduk Pasir Gudang.

“Ini bukan sahaja isu semasa, namun percayalah kesan toksik jangka panjang pasti ada seperti yang dinyatakan oleh seorang Pensyarah Kimia IPTA semalam bahawa akinonitril mempunyai sifat karsinogenik pencetus kanser.

“Exco kerajaan negeri yang menggambarkan hanya pelajar berada di tingkat 3 dan 4 sahaja yang terkesan dengan kejadian bersikat seperti melepaskan batok di tangga.

“Pelajar dan guru hanya diarahkan berpindah ke tingkat bawah sekolah, adakah tingkat bawah mempunyai udara yang berbeza?” ujarnya.

Beliau menggesa anggita Exco dan kerajaan Johor supaya megadakan pelan penghapusan serta perlindungan terperinci untuk membanteras kejadian yang boleh menjejaskan nyawa penduduk terutama pelajar dari berulang.

Putra dan rakyat terutamanya penduduk Pasir Gudang ingin kerajaan negeri mengenal pasti dalang di sebalik kilang kimia itu dan mengambil tindakan drastik ke atas mereka yang bertanggunjawab.

“Sehingga hari ini punca sebenar iaitu dalang pencemaran dan pembuangan sisa kimia tanpa mengikut garis panduan ini masih disenyapkan.

“Bukan sekolah sahaja yang wajib ditutup, tetapi mereka yang menjadi pengkhianat alam sekitar juga harus dihukum dengan hukuman yang berat.

“Kita mahu kerajaan negeri bertanggunjawab ke atas setiap kes mangsa yang terlibat dan tidak memperjudikan nyawa anak-anak serta orang ramai sehingga mencetuskan gelombang ketiga,” katanya.

Dr. Asmah turut mempersoalkan, adakah sehingga berlaku kehilangan nyawa, baru kerajaan Pakatan Harapan (PH) membuka mata atau mereka menganggap nyawa murid dan pelajar di situ tidak berharga? – MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast