Intan Rahmah Ali
Intan Rahmah Ali

KUALA LUMPUR – Kredibiliti Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) dalam usahanya menangani gejala seks yang semakin menular dalam kalangan remaja di negara ini, menimbulkan banyak persoalan.

Ini kerana, kementerian itu dilihat gagal merangka kaedah pendidikan seks yang lebih holistik dan pragmatik dalam membentuk keperibadian remaja yang lebih bermoral pada masa depan.

Serentak itu, Ketua penaja Wiranita Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Intan Rahmah Ali mengajak kementerian itu duduk di meja bulat bersama intelektual, kaunselor, agamawan dan pertubuhan NGO berkaitan untuk mencapai resolusi yang lebih baik.

Kata beliau, pihaknya juga menggesa kementerian itu mengkaji semula pendekatan dan kaedah pendidikan seks serta berhenti mendabik dada dengan anggapan kononnya pelancaran video pada 26 Jun lalu dapat membendung kadar jenayah dalam kalangan remaja.

“Kementerian mendakwa berjaya memberi kesedaran melalui edaran poster di lokasi strategik termasuk pintu tandas di semua 22 kawasan Rehat dan Rawat, tetapi berita terbaharu semalam, ada kes seorang bayi baru dilahirkan ditemukan dalam kotak.

“Ini menunjukkan gejala tidak bermoral itu juga masalah yang sangat kritikal dan perlu ditangani segera,” katanya.

Mengikut statistik polis, sebanyak 577 kes pembuangan bayi direkodkan dalam tempoh empat tahun sehingga 2018, di mana sembilan peratus pelajar kelas peralihan terbabit dengan seks bebas.

Manakala statistik KPWKM pula menunjukkan 7.3 peratus pelajar berumur 13 hingga 17 tahun mempunyai pengalaman seks.

“Sepatutnya sasaran pendidikan seks diberi fokus kepada kelompok ini, bukan kanak-kanak.

“Kami mengesyorkan KPWKM mengambil pendekatan lebih strategik dan spesifik untuk menangani permasalahan di peringkat akar umbi, bukan sekadar pencegahan dan kesedaran sahaja,” katanya.

Kata Intan Rahman, kerajaan perlu melaksanakan pendekatan lebih dinamik yang menitikberatkan semua aspek pembentukan insan melibatkan panduan keagamaaan, kesihatan, reproduksi  dan Sains Sosial.

Pihak sekolah juga harus berperanan memastikan proses pendidikan itu lebih konsisten dan bebas daripada pengaruh politik yang mungkin boleh mengganggu serta merosakkan keberkesanannya.

Beliau mengesyorkan KPWKM merangka kerjasama antara kementerian itu dengan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) agar kesinambungan konsep pembelajaran itu dapat mengajar ibu bapa mengenai kaedah betul mendidik anak. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast