KUALA LUMPUR – Kerajaan digesa memberi perhatian adil kepada mangsa Myokymia, Irfan Wafiy Idham Wazir, 12, yang disahkan positif penyakit itu akibat terdedah dengan pencemaran kimia dari Sungai Kim Kim.
Ahli Parlimen Kemaman, Tuan Che Alias Hamid menegaskan, kejadian menimpa murid Tahun Enam itu amat mendukacitakan, yang mana kesihatannya bertambah teruk selepas terhidu gas beracun.
“Saya rasa simpati nasib menimpa adik Irfan Wafiy yang disahkan positif Myokymia akibat terdedah dengan pencemaran kimia dari Sungai Kim Kim.
“Amat dukacita kesihatannya bertambah teruk selepas terhidu gas beracun yang menyebabkan paru-parunya gagal berfungsi.
“Persoalannya, sejauh mana kerajaan dan pihak berwajib bertindak menangani pencemaran ini yang mengancam nyawa penduduk sekitar Pasir Gudang?” soal beliau menerusi kenyataannya kepada media.
Hari ini media melaporkan, Irfan Wafiy disahkan menghidap Myokymia, sejenis penyakit yang menyebabkan beberapa anggota badan menggeletar.
Anak keempat daripada lima beradik itu diduga dengan penyakit seakan Parkinson dipercayai setelah terdedah pencemaran toksik Sungai Kim-Kim, Johor Mac lalu.
Ibunya, Norlela Abu Hashim, 45, berkata, Irfan Wafiy dimasukkan ke Hospital Sultan Ismail (HSI) setelah sukar bernafas, disyaki akibat terhidu gas beracun semasa sesi persekolahan.
Tidak seperti rakan-rakan lain, murid Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Bukit Dahlia, Pasir Gudang itu dimasukkan ke hospital lebih lama iaitu 10 hari berikutan keadaan kesihatan yang merosot setiap hari.
Menurut Tuan Che Alias, beliau dimaklumkan setakat ini belum ada mana-mana pihak tampil memberi bantuan sewajarnya kepada Irfan Wafiy, melainkan Jabatan Kesihatan sahaja.
Beliau menggesa kes murid itu diberi perhatian lebih adil, selain kerajaan perlu lebih konsisten menguruskan masalah pencemaran yang semakin kritikal agar tidak mengambil masa terlalu lama.
“Saya harap kerajaan memberi pelbagai bantuan kepada adik Irfan Wafiy dengan segera terutama dari segi kaunseling dan sokongan bagi memulihkan semangatnya untuk meneruskan kehidupan dan akan menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun ini.
“Saya sarankan kerajaan membuat susulan pemeriksaan kesihatan semua murid yang terjejas dengan pencemaran udara di Pasir Gudang secara mega termasuk guru dan kakitangan sekolah serta orang awam,” katanya.
Selain itu, kerajaan juga perlu memastikan pesakit termasuk murid dan orang awam di kawasan Pasir Gudang yang menghidapi penyakit kronik seperti saraf, jantung, asma dan lain-lain segera dipindahkan ke zon rawatan di luar kawasan.
Katanya, mereka perlu diberi penjagaan lebih rapi sehingga kawasan itu betul-betul selamat dan bebas dari sebarang gas beracun yang didakwa gas acrylonitrile, xylene, metana dan toluene yang boleh mengakibatkan mangsa berasa sakit kepala, loya, pengsan dan sukar bernafas.
Justeru, katanya, rakyat akan menilai setiap tindakan diambil kerajaan memandangkan pencemaran dua kali berlaku dan dikatakan seperti gelombang ketiga setelah gelombang kedua berlaku pada 20 Jun lalu.
“Adakah sehingga ada nyawa yang diragut baru kerajaan hendak membuka mata? Oleh itu, nyawa rakyat jangan dipolitikkan,” katanya. – MalaysiaGazette
















