PUTRAJAYA – Kerajaan sentiasa memberi sokongan kepada Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) dalam usaha mendekatkan jabatan itu dengan masyarakat.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof berkata, beliau tertarik dengan program Hari Terbuka JKSM bersama masyarakat kerana mendedahkan peranan dan tanggungjawab sosialnya kepada rakyat yang ramai tidak tahu fungsi jabatan itu.
“Saya sentiasa menyokong penuh program dan aktiviti JKSM yang mampu memberi impak yang positif.
“Program ini memberi peluang kepada masyarakat dan agensi luar untuk lebih mengenali fungsi JKSM sebagai badan yang menyeragamkan hal ehwal pentadbiran mahkamah syariah dan kehakiman syariah di Malaysia,” katanya berucap merasmikan Hari Terbuka JKSM di Kompleks Islam Putrajaya di sini, hari ini.
Menurutnya, sepanjang setahun pemerintahan Malaysia Baharu, tiga teras utama falsafah pentadbiran Islam telah kerajaan Pakatan Harapan (PH) perjuangkan demi memastikan syiar Islam tetap dalam landasannya.
Kata beliau, kerajaan cuba menegakkan Islam atas teras dan landasan Rahmatan lil ‘alamin, yang dirangkum dalam kerangka Maqasid Syariah dan diterjemahkan pula kepada model pentadbiran Islam terunggul secara progresif dan inklusif menjelang tahun 2025.
Jelasnya, bagi merealisasikan hasrat itu, beliau telah menggariskan tiga wawasan dan gagasan yang telah disusun sebagai agenda reform yang progresif iaitu Rahmatan lil ‘alamin, Maqasid Syar’iyyah dan Model Malaysia.
“Tanggungjawab ini adalah besar dan mencabar terutama dalam konteks perundangan syariah.
“Oleh itu, JKSM mempunyai tanggungjawab besar yang menuntut kepada kesabaran, kesatuan dan kekuatan jati diri untuk terus istiqamah dalam perjuangan memartabatkan insitusi kehakiman Syariah di negara ini selaras dengan kehendak Malaysia Baharu.
“Saya dimaklumkan Hari Terbuka JKSM tahun ini merupakan program julung kali diadakan sebagai platform pertemuan masyarakat dengan warga kerja JKSM, bagi memperkenal dan mendekatkan institusi kehakiman Syariah dengan masyarakat,” katanya.
Dr. Mujahid berkata, objektif program itu untuk mempromosikan perkhidmatan ditawarkan JKSM kepada masyarakat, meningkatkan imejnya di mata masyarakat luar, menyampaikan serta memperluaskan perkhidmatan yang ditawarkan, di samping membina jaringan komunikasi dua hala bersama pihak media dan agensi terlibat.
“Harapan saya, program ini dapat mencapai objektif yang telah dirancang dan pada masa sama dapat menyebarluas maklumat serta meningkatkan mutu penyampaian perkhidmatan kepada masyarakat.
“Setelah dua dekad berlalu penubuhan JKSM, beberapa pencapaian dan kejayaan telah dilakar dan terpahat dalam lipatan sejarah kehakiman syariah negara,” katanya.
Beliau berkata, pencapaian dan kejayaan itu bukti kerajaan Persekutuan dan negeri amat komited dan bersungguh-sungguh dalam memastikan penyampaian perkhidmatan kepada masyarakat khususnya berkaitan hal ehwal pentadbiran dan pengurusan mahkamah syariah sentiasa ditahap terbaik dan memuaskan.
Beliau turut menjelaskan antara kejayaan dan perkhidmatan yang disediakan JKSM ialah mewujudkan perjawatan hakim rayuan untuk mengendalikan kes rayuan di mahkamah rayuan syariah di setiap negeri.
Membina dan menyelaraskan kaedah serta arahan amalan dan peraturan kepada semua pegawai syariah di JKSM, negeri dan lain-lain agensi berkaitan, selain mengawal selia perintah nafkah yang dikeluarkan oleh mahkamah syariah melalui tindakan penguatkuasaan dan pelaksanaan perintah;
Katanya, kejayaan lain ialah membangun, menyelaras dan mentadbir penggunaan sistem maklumat elektronik e-syariah di JKSM, negeri dan agensi;
Menyediakan perkhidmatan BSK Transit kepada pelanggan Mahkamah Syariah di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya. – MalaysiaGazette
















