Mohamad sabu
Mohamad Sabu

KUALA LUMPUR – Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu menjelaskan maksud fight dalam ungkapan we cannot fight them ketika berucap di Shangri-La Dialoque, Singapura pada 1 Jun lalu adalah berperang.

Katanya, ungkapan itu juga bukan bermaksud beliau memperkecilkan keupayaan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) tetapi berpendirian untuk berkecuali dan berbaik dengan semua negara.

“Maksud fight ini berperang. Apakah kita bersedia untuk berperang terutamanya dengan negara kuasa besar?

“Ya, kita boleh bercakap, saya masa pembangkang dulu pun saya memang lebih hebat daripada yang bercakap di sana (Barisan Nasional) tetapi kita kena lihat keupayaan dan kalau boleh kita mendahului perdamaian, kenapa kita memilih peperangan?”  soalnya ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim di Parlimen semalam.

Terdahulu, menjawab pertanyaan sama Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim, Mohamad atau lebih dikenali Mat Sabu menjelaskan, Malaysia tidak akan campur tangan dalam hal ehwal negara lain.

Sebaliknya, kata beliau, kerajaan akan terus mencari penyelesaian kepada isu keselamatan di rantau Asia Tenggara hingga ke peringkat antarabangsa.

“Sudah tentu kita tidak mahu berperang dengan mana-mana kuasa besar. Saya tidak sekali-kali memperkecilkan keupayaan ATM, malah kementerian saya sedang menyediakan Kertas Putih Pertahanan.

“Kita akan bentangkannya pada sesi Parlimen akan datang mengenai keperluan pembangunan keupayaan ATM dalam tempoh 10 tahun akan datang.

“Keupayaan dan kesiapsiagaan pertahanan negara sentiasa berada di tahap terbaik dalam menghadapi pelbagai bentuk ancaman terutama dari luar,” katanya.

Mat Sabu yang juga Presiden Parti Amanah Negara (PAN) berkata, ketika dalam Pas dahulu, beliau sering berpegang kepada nasihat presidennya (Datuk Seri Abdul Hadi Awang) bahawa setiap daripada mereka mesti dahulukan perdamaian dari peperangan.

“Bekas pemimpin saya dahulu, Ahli (Parlimen) daripada Marang (kata), kita dahulukan perdamaian daripada peperangan.

“Kalau kita tunjukkan kekuatan padahal tidak kuat, akhirnya kita akan dipermainkan. Oleh itu, kita mendahului dialog, kita mendahului diplomasi sebab kita hendak elak peperangan.

“Ini disebabkan kalau kita kata bersedia untuk berperang, tetapi apabila berlaku sesuatu, keupayaan mesti ada di semua segi. Sebab itulah kita bina kekuatan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast