KUALA LUMPUR – Gunung Lanno, antara gunung terbesar di Lembah Kinta, Perak yang dilaporkan memiliki kira-kira 36 gua batu kapur yang cantik dan unik, kini terancam kerana berhadapan dengan aktiviti perlombongan kuari yang mula menjejaskan warisan geologi ini.

Baru-baru ini kecantikan Gua Air di gunung itu yang didakwa satu-satunya gua di Perak yang mempunyai struktur untuk menakung air dan juga mempunyai laluan untuk air mengalir  terjejas apabila letupan dari kuari mencacatkan gua itu.

Penggemar aktiviti luar Uzair Suhairi, 27, berkata kerajaan negeri Perak perlu bertindak pantas memulihara gunung ini yang mempunyai begitu banyak gua dengan pelbagai tarikan, termasuk gua yang mempunyai kristal, dan merupakan satu dunia yang tersembunyi dan perlu diterokai.

Beliau yang banyak meneroka gua dan gunung di negeri ini berkata satu komplek eko-pelancongan boleh dibangunkan di gunung ini untuk pelbagai aktiviti, termasuk jelajah gua dan memanjat gunung yang setinggi 407 meter di atas paras laut yang dilaporkan mempunyai kawasan lapang seluas padang bola di puncaknya.

“Usaha untuk mengkaji dan mendokumen maklumat mengenai gunung ini perlu dilakukan segera,” memandangkan maklumat yang mengatakan terdapat 36 gua di Gunung Lanno telah dijalankan oleh peminat dan pengaji gua tempatan dan luar negara pada 2001, “mungkin ada lagi gua yang tidak dapat dikesan,” katanya kepada Bernama baharu-baharu ini semasa lawatan ke gunung itu yang dianjurkan oleh Kinta Valley Watch, sebuah pertubuhan komuniti yang berpangkalan di Ipoh.

Bagi pencinta alam Vyonne Blake, anak kelahiran Ipoh dan kini menetap di Scotland, beliau tidak mengerti mengapa pihak bertanggungjawab mengeluarkan permit membenarkan gunung itu diletupkan memandangkan banyak artikel telah ditulis mengenai khazanah warisan geologi itu.

“Tujuh daripada 20 gua terpanjang di negara ini terletak di Gunung Lanno, dan terdapat begitu banyak artikel dan kertas penyelidikan yang ditulis mengenai Gunung Lanno, dan keperluan untuk memulihara dan memeliharanya, namun gunung khusus ini telah diletupkan, “kata Vyonne yang merupakan pentadbir akaun Facebook awam “Kinta Heritage” yang didedikasikan untuk pemeliharaan, penghantaran dan promosi sejarah, warisan dan identiti Lembah Kinta.

Yvoone berusia 60-an berkata beliau tidak menentang aktiviti kuari, tetapi apa yang dia mahukan adalah industri kuari di Ipoh diurus dengan lebih baik, seperti yang telah dirancang 10 tahun lalu oleh kerajaan negeri Perak agar industri kuari menjalankan aktiviti mereka di bawah tanah.

Terdapat beberapa industri batu kapur di Perak yang menjalankan kegiatan kuari di bawah tanah seperti Tasek Corp di Kinta, Hume Cement di Kampar dan Lhoist di Batang Padang, dan “mereka harus membiarkan bukit batu kapur untuk kita nikmati. Ini warisan semulajadi, mereka tidak boleh memusnahkannya,” katanya kepada Bernama.

Geopark Lembah Kinta meliputi kawasan seluas 1,952 kilometer dan merangkumi dua daerah di Perak – daerah Kinta dan Kampar, dimayshurkan oleh Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah pada Oktober lalu sebagai geopark kebangsaan.Telah dilaporkan bahawa sejumlah 18 tapak geo yang terletak di kawasan itu telah disenaraikan, termasuk Gunung Lang, Gua Tambun, Gua Naga Mas, Gua Tempurung, Gunung Korbu, Sungai Jeram, Hutan Lipur Ulu Kinta, Air Terjun Sungai Salu dan beberapa lebih lagi.

Sementara itu, Persatuan Pencinta Alam Perak pernah melaporkan bahawa ekspedisi sepasukan ahli speleologi yang menjalan ekspedisi ke Gunung Lanno pada akhir 1990-an dan awal 2000 telah menjumpai 36 gua dan mendokumenkannya, kecuali Gua Thai Monk, Gua Batu Pencuri and Gua di tepi Tasik, dan menyifatkan penemuan itu sebagai keajaiban botani.Gua-gua ini pada ahli kaji bumi, kaji gua, kaji hayat dan pemuliharaan warisan terdapat bukti aktiviti perlombongan timah dan kebudayaan seperti kuil gua.

Sebahagian besar penemuan telah dibuat semasa Ekspedisi Kaji Gua Antarabangsa Gunung Lanno Malaysia 2001.

Mereka jua turut sampai ke puncak gunung itu dengan merekodkan pelbagai jenis flora terdapat di setiap 100 meter pendakian, dengan hutan buluh dan orkid hutan di temui di puncak.Kertas kerja mengenai “Pemuliharaan Sistem Gunung Lanno – Cadangan untuk tapak geoheritage” telah dibentangkan dibeberapa persidangan termasuk di Persidangan Kebangsaan Geosains 2014 di Terengganu dalam usaha mengetengahkan keunikan Gunung Lanno.

Laporan MNS Perak pada tahuh 2011, melaporkan pada waktu itu terdapat lapan syarikat kuari beroperasi di kaki Gunung Lanno dengan lima syarikat yang amat aktif.

Sementara itu dua sahabat, Goh Ah Poon, 61, dan Gan Lim, 57, berharap kerajaan negeri Perak mengambil langkah untuk memulihara Gunung Lanno.Bagi Gan, anak kelahiran Ipoh dan bekerja di Kuala Lumpur.

“Ini sesuatu yang unik dan warisan yang perlu dipelihara. Kami ingin berharap kerajaan Perak untuk memikirkan manfaat jangka panjang, bukannya faedah jangka pendek,” katanya.

Sementara Goh, berharap lebih banyak usaha dilakukan untuk mewujudkan kesedaran dalam memelihara warisan geo yang indah di Ipoh ini.- BERNAMA