KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan perlu berhati-hati dan cermat dalam membuat kenyataan, terutama apabila menyatakan penyakit Myokymia tiada kaitan dengan pencemaran kimia di Sungai Kim-Kim dan Pasir Gudang, Johor.

Ketua Wirawati Putra, Dr. Asmah Razalli berkata, pihaknya kecewa dengan kenyataan Timbalan Menteri, Dr. Lee Boon Chye mendakwa kes kesihatan Irfan Wafiy Idham Wazir bukan disebabkan pencemaran langsung kimia berkenaan.

Kata beliau, sebagai timbalan menteri, beliau sepatutnya mengeluarkan kenyataan yang lebih bersifat empatetik selain bijak menangani kes yang sensitif sehingga melibatkan banyak nyawa.

Malah, ujar beliau, selain kanan-kanak, ibu bapa dan guru juga turut terkesan secara langsung akibat pencemaran kimia yang busuk dan bersifat iritatif itu.

“Seeloknya sebagai yang memegang portfolio di kementerian, beliau turun padang melihat sendiri apa yang berlaku kerana sudah empat bulan perkara ini berlarutan dan tiada penyelesaian secara menyeluruh diambil.

“Pemegang portfolio Kementerian Kesihatan pula mestilah bersifat apologetik, empatetik dan mahu siasatan terperinci dijalankan serta paling penting memastikan setiap mangsa mendapat layanan dan perkhidmatan terbaik.

“Sekurang-kurangnya keadaan kesihatan mangsa yang terjejas terubat dengan layanan terbaik oleh kerajaan,” katanya dalam kenyataan kepada media hari ini.

Semalam, sebuah akhbar berbahasa Inggeris melaporkan Boon Chye sebagai berkata, tiada bukti yang mengaitkan pencemaran Sungai Kim Kim menyebabkan Irfan Wafiy menghidap penyakit Myokymia.

Kata beliau, pihaknya juga mendapati tiada bukti menunjukkan pencemaran toksik di sungai itu pada Mac lalu punca kepada penyakit yang dihidapi murid Tahun Enam itu.

Malah katanya, hasil pemeriksaan mendapati Irfan Wafiy mempunyai rekod dilahirkan sebagai bayi pra matang dan penyakit sawan ketika berusia empat tahun.

Menurut Dr. Asmah, beliau berasa amat kesal dengan kenyataan menteri atau timbalan menteri yang cuba membuat menafikan serta mengguris hati mangsa Pasir Gudang yang tidak berdosa.

“Tiada siapa mahu sakit ataupun kehidupan mereka terjejas kerana ini bukan suatu drama, tetapi kelemahan salah urus tadbir industri yang menyusahkan rakyat.

“Kerajaan Pakatan Harapan (PH) seeloknya muhasabah diri dan meminta maaf kepada rakyat Malaysia kerana tidak mampu memikul amanah serta tanggungjawab sebagai pemimpin,” katanya.

Beliau bagaimanapun berkata, Irfan Wafiy kini terpaksa melalui rawatan susulan fisioterapi dan neurologi di hospital pakar di Johor dan Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Oleh itu, ujarnya, daripada kementerian cuba mengeruhkan keadaan mangsa dan menampakkan imej buruk kerajaan PH, adalah lebih baik Menteri, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad dan Boon Chye turun padang menyelidiki segala masalah kesihatan yang berlaku, bukan bercakap sekadar retorik.

“Wirawati Putra amat kecewa dan berharap menteri serta timbalannya memenuhi janji untuk turun padang dan bersua dengan adik Irfan Wafiy serta keluarga dan semua mangsa terlibat.

“Penafian adalah kerja mudah, namun tidak menyelesaikan masalah. Bantu pelajar di Pasir Gudang meneruskan persekolahan mereka seperti biasa serta pastikan tiada lagi gelombang pencemaran bakal berlaku di situ,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast