KUALA LUMPUR – Belum terlambat untuk kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan Kementerian Kesihatan menarik balik pelantikan Rania Zara Medina sebagai Ahli Jawatankuasa mewakili kumpulan transgender dalam Country Coordinating Mechanism (CCM) Malaysia.
Ketua Dewan Muslimat Pas Malaysia (DMPM), Senator Nuridah Mohd Salleh mencadangkan tempat itu digantikan dalam kalangan bekas transgender yang melalui fasa positif untuk kembali kepada fitrah.
Kata beliau, elemen normalisasi LGBT itu perlu dihentikan kerana ia bercanggah dengan prinsip agama dan Perlembagaan Negara.
“Golongan itu seharusnya dirawat apatah lagi golongan yang sudah dijangkiti virus epidemik ini. Persoalannya adakah Rania berpendapat yang sama?” soal beliau dalam kenyataan kepada media.
Nuridah turut menyeru semua badan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bersatu dalam hal itu.
Ujarnya, promosi agenda kesetaraan gender bukan budaya masyarakat Malaysia.
“Bahkan, kami menyokong pendirian Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah dalam satu temubual dengan stesen radio BFM tahun lalu, membantah sokongan terhadap mana-mana aktivitis yang giat mempromosikan agenda LGBT ini,
“Pelantikan ini oleh Timbalan Menteri Kesihatan, Dr. Lee Boon Chye merupakan satu bentuk pengiktirafan kepada golongan transgender.
“Persoalannya, kenapa Rania, transgender dan mendokong transgender ini dipilih?” katanya.
Beliau mempersoalkan, adakah dengan penglibatan Rania yang disokong oleh Nisha Ayub itu dapat membantu membendung penyakit epidemik khasnya HIV/AIDS?
Bagaimanakah Rania sebagai transgender dapat memberi pandangan ke arah menangani masalah berkenaan, sedangkan antara punca utama peningkatan penyakit HIV/AIDS adalah datang daripada hubungan sejenis?
“Apakah hala tuju dan misi Rania di CCM? Sedangkan komuniti itu mendapatkan sokongan dana daripada Global Fund yang dilihat menyokong agenda LGBT seperti yang berlaku di Botswana.
“Ini dibuktikan menerusi sebuah artikel bertajuk ‘The Global Fund Praises Botswana’s Move to Uphold Rights of LGBT People’ yang jelas menyatakan pujian Global Fund kepada aktivis yang memperjuangkan agenda LGBT di negara berkenaan,” katanya.
Memetik artikel di laman web Global Fund pada 17 Jun lalu, ‘Global Fund menyokong semua usaha untuk mempromosikan dan melindungi hak asasi manusia dan kesetaraan gender, dan komited menghapuskan halangan undang-undang serta lain-lain kepada perkhidmatan kesihatan.
Katanya, mengambil tindakan untuk mengurangkan diskriminasi dan stigma adalah bahagian penting untuk menamatkan wabak HIV, TB dan malaria’. – MalaysiaGazette
















