Tuan Ibrahim Tuan Man
Tuan Ibrahim Tuan Man

KUALA LUMPUR – Pas meminta kerajaan menerusi Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) berusaha sebaik mungkin memulihkan prestasi syarikat Malaysia Airlines Bhd (Malaysia Airlines).

Timbalan Presidennya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, pemulihan yang dilakukan mesti mengambil kira semua pandangan tanpa menutup atau menjual pegangan majoriti atau sepenuhnya kepada pihak lain terutama syarikat asing.

Katanya, Pas bersetuju syarat pemulihan syarikat penerbangan Malaysia Airlines itu harus mengekalkan identiti negara, tanpa memberhentikan semua kakitangannya.

“Malaysia Airlines adalah aset strategik negara di bawah Khazanah. Berdasarkan polisi pelaburannya, aset strategik harus dipertahankan untuk kepentingan negara berbanding aset komersial yang boleh di struktur semula bagi menepati objektif pelaburan yang telah ditetapkan.

“Perubahan besar yang akan berlaku terhadap syarikat itu mestilah juga mendapat pendapat awam sama ada dibuat secara terbuka atau menerusi Parlimen,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, hari ini.

Di Parlimen semalam, Tun Dr. Mahathir Mohamad memberi jaminan tidak akan memberhentikan kakitangan Malaysia Airlines, walaupun syarikat penerbangan negara itu diambil alih oleh syarikat lain.

Pada masa sama kata Perdana Menteri, beliau mahu nama Malaysia dikekalkan dalam membuat sebarang keputusan berhubung pelan pemulihan yang sedang dilaksanakan.

Menurut Tuan Ibrahim, kerajaan juga digesa menilai lebih teliti pelan pemulihan yang pernah dibentangkan dalam Khazanah sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRu14) yang lalu.

Katanya, kerajaan perlu memberi peluang supaya pelan tersebut berjalan mengikut rancangan dan tempoh masa yang asal. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast