KUALA LUMPUR – Netizen di medium sosial dinasihatkan agar tidak terlalu ghairah menyebarkan gambar seorang menteri sedang menguap kerana ia mengaibkan diri pemimpin itu.
Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, beliau kesal masih ada sikap tidak senonoh segelintir netizen terutama yang beragama Islam menyebarkan aib saudara seagama.
“Maaflah, usahlah menyebarkan aib saudara seagama kita meskipun berbeza latar belakang politik atau berbeza pandangan.
“Segala kesalahan dan keaiban dia tidak menghalalkan tindakan menyebarkan aib yang diharamkan oleh Islam,” katanya dalam status akaun Facebooknya hari ini.
Semalam, viral di medium sosial oleh netizen menyiarkan gambar seorang menteri sedang menguap ketika mengikuti sesi perbahasan di Dewan Rakyat.
Jelas Dr. Mohd Khairuddin, sebaiknya jika berdepan dengan perkara sedemikian mereka wajar menutup aib orang berkenaan kerana jika dibandingkan, diri sendiri pun tidak sunyi daripada ribuan keaiban.
“Berpolitiklah secara damai dan berhemah. Politik idea dan ilmu. Bukan politik kebencian, emosi dan nafsu.
“Saya sangat terkilan dengan tindakan menyebarkan gambar menteri yang diambil ketika menguap di Dewan Rakyat lalu dibuat pelbagai ulasan yang mengaibkan,” katanya. – MalaysiaGazette
















