KUALA LUMPUR – Pelaksanaan levi pelepasan bermula September ini boleh menyumbang kepada kegagalan Tahun Melawat Melaysia (TMM) 2020, kata Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali.
Beliau berkata, dengan pelaksanaan itu, TMM yang menyasarkan kira-kira 30 juta pelancong dengan kutipan RM100 bilion akan mengalami kemerosotan kepada 25.8 juta sahaja setahun.
Ini kerana pelaksanaan levi pelepasan itu boleh menyebabkan jumlah penumpang udara akan merosot, sekali gus mengurangkan jumlah kedatangan pelancong.
Kata beliau, Institut Kajian Malaysia dan Antarabangsa (IKMAS) pada 2018 menjangkakan enam peratus penumpang atau 2 juta pelancong akan berkurangan.
Manakala, Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) pada tahun ini juga menjangkakan jumlah penumpang akan berkurangan sebanyak 835,000 setahun.
“Sepatutnya kerajaan mengambil pengajaran dari pelaksanaan pelbagai cukai atau caj sebelum ini sehingga sumbangan sektor penerbangan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menyusut sebanyak AS$419 juta (RM1.72 bilion).
“Ini juga menyebabkan kehilangan 5,300 pekerjaan dan menghakis daya saing Malaysia sebagai destinasi pelancongan,” katanya dalam kenyataan kepada media hari ini.
Beliau berkata, pada 2017 kerajaan telah mengenakan Cukai Pelancongan kepada pelancong asing yang menginap di hotel.
Kemudian, pada 2018, caj perkhidmatan penumpang (PSC) dinaikkan apabila Mac tahun ini, Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) mula melaksanakan caj RM8 bagi bas persiaran dan RM4 untuk van pelancong yang mengambil dan menurunkan penumpang di KLIA2.
“Saya percaya jika levi pelepasan tetap diteruskan pada September ini, industri pelancongan akan semakin merosot teruk.
“Oleh itu, saya menggesa supaya levi pelepasan ini ditangguhkan dahulu setelah mengambil kira prestasi TMM2020 nanti,” katanya. – MalaysiaGazette
















