KUALA LUMPUR – Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Musa Awang mengucapkan terima kasih kepada Dewan Rakyat kerana meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Profesion Guaman Syarie (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 2019.
Presidennya, Musa Awang berkata, persatuan itu dari awal lagi terlibat dalam usaha menggesa kerajaan menggubal undang-undang berkenaan.
“Terima kasih seluruh Ahli Dewan Rakyat atas perbahasan dan meluluskan RUU berhubung profesion guaman Syarie dan RUU (Pindaan) Akta Pentadbiran Agama Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 2019 semalam.
“Kita juga ucap terima kasih kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Jabatan Peguam Negara, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM), Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan serta pihak lain yang turut terlibat memastikan RUU itu berjaya direalisasikan,” katanya dalam kenyataan kepada media.
Menurut Musa, walaupun RUU itu terpakai dalam Wilayah Persekutuan sahaja, namun berharap menjadi model undang-undang untuk panduan dan contoh penyeragaman undang-undang profesion guaman syarie ke negeri lain.
Seterusnya, kata beliau, untuk menggubal Enakmen Peguam Syarie negeri-negeri melalui Dewan Undangan Negeri, masing-masing.
Beliau yakin negeri-negeri akan mengambil langkah sama dengan memperkenalkan Enakmen Profesion Peguam Syarie di negeri masing-masing, selepas ini.
Katanya, PGSM melalui cawangan setiap negeri bersedia memberikan kerjasama kepada kerajaan Negeri bagi merealisasikan tujuan tersebut.
“Menyeragamkan undang-undang berkaitan Profesion Guaman Syarie bukan sahaja dapat mengangkat profesionalisme Peguam Syarie di negara ini, malah menjadi pencetus memartabatkan institusi Mahkamah Syariah. Apa yang penting, ia mampu mengelakkan kemudaratan kepada masyarakat, yang timbul akibat daripada ketidakseragaman tersebut.
“Adanya undang-undang sedemikian, Peguam Syarie akan menjadi lebih fokus, berkomitmen, berintegriti dan lebih bertanggungjawab terhadap profesion mereka serta kepada anak guam,” katanya. – MalaysiaGazette
















