Presiden Perseketuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), Gianni Infantino.

KUALA LUMPUR – Presiden Perseketuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), Gianni Infantino mengucapkan tahniah kepada Kelab Bola Sepak Johor Darul Ta’zim (JDT) selepas menjuarai kejuaraan keenam Liga Super secara berturut-turut pada musim ini.

Infantino dalam satu kenyataan menyampaikan penghargaan itu melalui sepucuk surat yang dihantar kepada Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd. Amin.

Beliau menyifatkan kejayaan JDT itu disebabkan hasil usaha dan kerja keras serta semua orang yang terlibat dan berbangga dengan pencapaian hebat itu.

“Bagi pihak komuniti bola sepak antarabangsa, saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim dan persatuan anda atas bantuan menyebarkan mesej positif bola sepak serta memupuk amalan sukan indah ini yang menyatukan kita semua,” tulisnya.

JDT sah muncul juara Liga Super Malaysia 2019 setelah menewaskan Melaka United 2-1 di Stadium Hang Jebat pada 26 Jun lalu.

Kemenangan itu membolehkan JDT tidak perlu menunggu baki saingan liga untuk dinobatkan juara buat kali keenam berturut-turut berikutan mana-mana lawan terutama Pahang tidak mampu mencabar walaupun menang semua baki perlawanan.

Satu sambutan besar-besaran akan diadakan pada 19 September ini untuk meraikan kejuaraan Liga Super itu di mana JDT akan berhadapan dengan Terengganu FC perlawanan terakhir yang akan diadakan di Larkin sebelum kelab tersebut berpindah ke arena baharu, Stadium Sultan Ibrahim pada musim hadapan. – MalaysiaGazette