Mohd Amar Abdullah
Mohd Amar Abdullah

KUALA LUMPUR – Kerajaan Kelantan tidak menerima sebarang maklumat rasmi berhubung laporan mendakwa Sultan Kelantan Sultan Muhammad V sudah bercerai dengan isterinya, Rihana Oksana Gorbatenko.

Bahkan, menurut Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Abdullah, kerajaan negeri juga tidak berhasrat untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai perkara itu.

Beliau bagaimanapun, mempersoalkan motif beberapa akhbar yang menyiarkan laporan perceraian itu di muka depan.

“Saya hairan dan pada masa sama bimbang tindakan media tertentu menyiarkan isu perceraian Sultan Kelantan di muka hadapan akhbar mempunyai agenda tersembunyi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditanya media di Kota Bharu semalam, mengenai laporan sebuah akhbar berbahasa Inggeris memuatkan berita perceraian Sultan Kelantan dengan isterinya warga Rusia.

Menurut Mohd Amar sebagaimana dilaporkan lidah rasmi Pas, Harakahdaily.net, sultan umpama seperti emak dan ayah yang perlu dihormati sebagaimana rakyat menghormati Perdana Menteri.

Ujarnya, kerajaan negeri tidak bersetuju dengan laporan itu dan sepatutnya media menghormatinya.

Beliau turut menyatakan, perkahwinan dan perceraian adalah perkara lumrah dalam kehidupan dan tidak perlu diperbesarkan ataupun dijadikan sebagai tajuk utama akhbar.

“Apa sahaja isu berkaitan dengan pihak istana, ia perlu dirujuk pada pihak berkenaan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast