KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan tidak pernah meminda atau melaksanakan semakan semula terhadap kurikulum dan buku teks mata pelajaran Sejarah.
Menurut kenyataan dikeluarkan, kementerian menyatakan, semakan terakhir kurikulum mata pelajaran berkenaan dilaksanakan pada tahun 2017 dan buku teks serta kurikulum kini berasaskan kepada semakan berkenaan.
Kata kenyataan itu, pelaksanaan semakan kurikulum dan buku teks mata pelajaran Sejarah ini telah dilaksanakan secara berfasa sejak tahun 2017.
“Kohort pertama mempelajari mata pelajaran Sejarah dan menggunakan buku teks Sejarah semakan terkini ini adalah murid Tingkatan Satu pada 2017, yang mana mereka merupakan murid Tingkatan Empat pada tahun 2020.
“Semakan 2017 ini bermula asalnya pada 2012 melibatkan pakar Sejarah, pensyarah universiti awam, guru Cemerlang Sejarah dan pegawai kurikulum dalam Jawatankuasa Kerja Penambahbaikan Mata Pelajaran Sejarah (JKPMPS) Panel Pakar Rujuk Kurikulum Sejarah dan Buku Teks Sejarah.
“Tiada mana-mana bahagian yang digugur, dibuang atau dimansuhkan, sebaliknya bahagian berkenaan telah disusun dan diatur semula agar kurikulum yang dipelajari murid lebih kemas dan bersistematik bagi memudahkan pemahaman mereka mengenai sejarah negara,” kata kenyataan itu kepada media hari ini.
Baru-baru ini timbul isu bahawa buku teks Sejarah Tingkatan Tiga telah dipinda dengan melibatkan pemansuhan beberapa bab berkaitan pendudukan Jepun di negara ini dan ancaman Parti Komunis Malaya serta darurat.
Menurutnya, kandungan Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM) Sejarah disusun secara kronologi mengikut garis masa peristiwa sejarah. yang mana tajuk diajarkan kepada murid adalah secara berkesinambungan daripada Tingkatan Satu sehingga Tingkatan Lima supaya mereka dapat memahami sejarah negara dengan lebih mendalam.
Kandungan KSSM Sejarah Tingkatan Tiga pula adalah bertemakan Kedatangan Kuasa Asing.
“Di bawah tema ini, murid diajar mengenai Campur Tangan dan Penjajahan Kuasa Barat dan Tindak Balas Masyarakat Tempatan dan mereka didedahkan dengan kedatangan kuasa Barat, pentadbiran negeri-negeri Selat, negeri-negeri Melayu Bersekutu, negeri-negeri Melayu Tidak Bersekutu, Sabah dan Sarawak serta kesan pentadbiran Barat terhadap ekonomi dan sosial di negara kita.
“Manakala di bawah tajuk Tindak Balas Masyarakat Tempatan, murid didedahkan dengan penentangan penduduk tempatan yang melibatkan pergerakan nasionalisme tahap pertama bersifat setempat dan kebijaksanaan Raja Melayu serta pembesar menangani cabaran Barat sehingga melambatkan proses perluasan kuasa Barat di negara ini,” katanya.
Kenyataan itu turut menjelaskan, tajuk Pendudukan Jepun di Negara Kita, Ancaman Parti Komunis Malaya dan Darurat yang dahulunya dipelajari murid Tingkatan Tiga menerusi Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM) akan diajar kepada murid Tingkatan Empat pada 2020 berdasarkan KSSM Sejarah baharu.
Kementerian meminta mana-mana pihak yang tidak bertanggungjawab menghentikan usaha menyebarkan sebarang maklumat tidak benar mengenai perkara itu. – MalaysiaGazette
















