Mohamed Azmin melafaz syukur menerusi Twitternya hari ini.
Mohamed Azmin melafaz syukur menerusi Twitternya hari ini.

KUALA LUMPUR  – “Alhamdulillah, syukur…” demikian ciapan ringkas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menerusi akaun Twitternya.

Lafaz kesyukuran itu dipercayai berkaitan dengan kenyataan Ketua Polis Negara (KPN), Datuk Seri Abdul Hamid Bador semalam bahawa pihaknya tidak dapat mengaitkan pelaku dalam video tersebut dengan individu yang dimaksudkan.

Mohamed Azmin yang merupakan Menteri Hal Ehwal Ekonomi telah dikaitkan dengan video intim oleh pihak tertentu yang viral sejak beberapa minggu lalu.

Hasil analisis terhadap video itu oleh CyberSEcurity Malaysia (CyberSecurity) mengesahkan bahawa kebarangkalian video terbabit tulen adalah tinggi.

Namun, kata Abdul Hamid, pengecaman wajah individu dalam video tersebut adalah negatif.

Pada 12 Jun lalu, Haziq Abdullah Abdul Aziz yang juga Setiausaha Sulit Kanan kepada Timbalan Menteri Industri Utama mendakwa individu dalam video tersebut dirakam pada 11 Mei lalu di sebuah bilik hotel di Sandakan.

Beliau mengakui seorang daripada dua lelaki dalam video berkenaan adalah dirinya dan kejadian itu berlaku dalam bulan Ramadan.

“Saya Haziq Aziz dengan ini saya membuat pengakuan bersumpah bahawa sayalah individu bersama […] dalam video yang telah viral semalam.

“Video tersebut diambil tanpa kebenaran saya pada 11 Mei (semasa) Pilihan Raya Kecil Sandakan di (bilik) […] di Hotel Four Points,” kata Haziq  melalui rakaman video yang dimuat naik di media sosial.

Sementara itu, Penyelaras Parlimen Jasin, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan dalam kenyataannya berhubung perkara itu berkata, keseluruhan masyarakat bersyukur kerana isu fitnah terhadap Mohamed Azmin sudah terjawab secara rasmi.

Kata beliau, kenyataan Abdul Hamid telah membuktikan kepada keseluruhan rakyat Malaysia bahawa ada daya usaha jahat oleh kalangan tertentu dengan melibatkan jumlah kewangan yang amat banyak bagi menjatuhkan reputasi seterusnya mematikan karier politik Timbalan Presiden PKR itu. – MalaysiaGazette