Hee Loy Sian
Hee Loy Sian

KUALA LUMPUR – Tiga Logi Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 1, 2 dan 3 telah beroperasi semula bermula jam 5 petang kelmarin hingga jam 12.10 awal pagi semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Hee Loy Sian berkata, beliau dimaklumkan Lembaga Urus Air Selangor (LUAS), operasi LRA SSP1 dan SSP2 telah dimulakan jam 7 malam kelmarin, manakala LRA Rantau Panjang pada jam 12.10 awal pagi semalam.

Katanya, pada 19 Julai lalu, LUAS telah menerima aduan mengenai pencemaran bau di Sungai Selangor menyebabkan henti tugas beberapa LRA utama di Sungai Selangor.

Kejadian itu menurut beliau, melibatkan LRA SSP2 pada jam 1.50 tengah hari, SSP1 jam 2.10 petang, SSP3 jam 2.15 petang dan juga LRA Rantau Panjang jam 8 malam.

“LUAS kemudian telah mengaktifkan operasi pengepaman air kolam di Bestari Jaya sebagai sumber alternatif untuk pengguna.

“Siasatan turut dilakukan serta merta bermula pada jam 3 petang dengan pensampelan daripada SSP1 hingga ke hilir Sungai Batang Kali dan enam ton bau telah dikesan di sungai itu.

“Serentak itu juga, laporan polis telah dibuat di Balai Polis Bestari Jaya berhubung pencemaran yang berlaku,” katanya dalam kenyataan kepada media, semalam.

Beliau menjelaskan, hasil siasatan LUAS turut mengesan bau yang serupa di Sungai Liam.

Rentetan itu, katanya, sebanyak enam bag activated carbon (AC) telah diletakkan di aliran punca di kawasan Sungai Liam sebagai langkah kawalan.

“Pihak LUAS mendapati lapisan minyak hitam di Inlet masuk Loji Indah Water Konsortium Sdn Bnd (IWK) dan dikenalpasti baunya seakan sama dengan bau di kawasan muka sauk loji.

“Inlet loji berkenaan kemudian ditutup pada jam 9 pagi kelmarin kerana disyaki terdapat kemasukan discaj tanpa kebenaran ke paip pembentungan awam yang berkemungkinan dari bengkel kenderaan di kawasan sekitar,” ujarnya.

Hee berkata, Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) akan menjalankan siasatan lanjut bagi mengenalpasti premis berkaitan.

Manakala IWK pula akan menjalankan kerja penyedutan keluar lapisan minyak sebelum lojinya beroperasi seperti biasa.

Pemantauan statik LUAS dan Pengurusan Air Selangor akan dijalankan dalam memastikan tiada kesan bau di Sungai Liam.

Sehingga kini, kata beliau, LUAS bersama pihak yang terlibat bekerjasama bagi menangani isu itu dengan kadar segera. – MalaysiaGazette