Gambar hiasan

MELAKA – Sejumlah 87 kenderaan yang disita Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Melaka melibatkan pelbagai jenis kereta termasuk dua van dan satu lori akan dilelong kepada orang awam pada 15 Ogos ini.

Pengarah JPJ Melaka, Muhammad Firdaus Shariff berkata sebanyak 81 kenderaan termasuk kenderaan klon boleh dilesenkan dengan harga rizab akan dilelong pada harga paling tinggi iaitu sebuah kereta jenis Honda Accord bernilai RM19,500 dan harga paling rendah kereta Proton Saga bernilai RM450.

Beliau berkata, enam lagi kenderaan berstatus ‘scrap’ iaitu harga paling tinggi ialah Honda Odyssey bernilai RM12,000 dan paling rendah Perodua Kancil RM300 dan kesemua kenderaan terbabit akan dipamerkan untuk pemeriksaan awam pada 8 dan 9 Ogos mulai 9 pagi hingga 4 petang.

“Dokumen lelongan kenderaan berkenaan berharga RM100 senaskah dijual mulai hari ini pada 9 pagi hingga 4 petang di Unit Kewangan, Bahagian Pengurusan JPJ negeri, jualan dokumen lelong itu berakhir pada 13 Ogos dan bayaran hendaklah dibuat secara tunai sahaja.

“Sijil atau lesen barangan lusuh yang sah perlu dikemukakan oleh pembida semasa pendaftaran dan kenderaan ‘scrap’ hendaklah dileraikan di pejabat JPJ negeri sebelum dibawa keluar dan pihak JPJ tidak akan menanggung sebarang kos itu,” katanya pada sidang media di kawasan parkir JPJ di Bukit Katil, di sini hari ini.

Muhammad Firdaus berkata, nilai bidaan minimum bagi kenderaan terbabit ialah RM100 dan hanya pembida yang membeli dokumen dan menurunkan tanda tangan penerimaan pada buku rekod selain membuat pembayaran deposit RM2,000, dibenarkan mengambil bahagian dalam penjualan lelong itu.

Katanya, keadaan kenderaan dilelong tidak dijamin oleh kerajaan dan ia adalah sama seperti semasa sesi lelongan diadakan, sekiranya pembida tidak berjaya, wang pendaftaran bidaan iaitu deposit akan dikembalikan kepada mereka.

“Bagi kenderaan yang boleh ditukar milikan kepada pembida yang berjaya, bayaran tukar milikan dan kos pemeriksaan di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) akan dibiayai sendiri oleh pembida,” katanya.

— BERNAMA