KUALA LUMPUR – UMNO memberi empat sebab kenapa parti itu tidak akan sekali-kali bekerjasama dengan DAP.
Setiausaha Agungnya, Tan Sri Annuar Musa berkata, salah satu sebab ialah kata-kata Tun Dr, Mahathir Mohamad ketika memimpin UMNO sebelum ini bahawa DAP adalah parti rasis dan anti Islam.
Katanya, sehingga kini UMNO masih ingat dan berpegang kuat pada kata-kata itu, walaupun Dr. Mahathir telah melanggar ‘sumpah’nya sendiri.
Beliau seterusnya memberitahu sebab kedua UMNO tolak bekerjasama dengan DAP kerana perlembagaannya sendiri menyebut ia parti sosialis.
“Sebab ketiga, DAP masih menjadikan Malaysian Malaysia sebagai dasar dan keempat, ia sebuah parti yang memperjuangkan secularism,” katanya menerusia ciapan Twitter beliau hari ini.
Semalam, Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan berkata, parti itu dan Pas bakal menandatangani piagam bersama sebagai usaha menjadikan kerjasama antara kedua parti berkenaan berlangsung secara rasmi, tidak lama lagi.
Melalui piagam itu, katanya, mereka akan menutup pintu untuk mana-mana parti yang menjalin hubungan dengan DAP.
“Perbincangan sudah tamat dimuktamadkan, tak aka nada rundingan dengan parti dalam Pakatan Harapan (PH) selagi mereka berkongsi kuasa dengan DAP,” kata Ahmad Zahid. – MalaysiaGazette