KUALA LUMPUR – Dewan Muslimat Pas Malaysia (DMPM) melahirkan kebimbangan dengan terbitan berleluasa karikatur, kata-kata kesat, kejian serta hinaan terhadap agama Islam terutama Nabi Muhammad SAW di media sosial.
Naib Ketuanya, Salamiah Mohd Nor berkata, situasi itu terlah berulang saban hari serta individu terlibat adalah mereka bukan beragama Islam serta berbangsa lain.
Keadaan itu, katanya menyebabkan ketegangan antara masyarakat majmuk di Malaysia berlaku sehingga mencetuskan perpecahan baik sesama muslim mahupun yang berlainan agama dan bangsa.
“Terbaharu dalam satu hantaran melalui Facebook Group ‘Kiub Batu Itu Berhala’ oleh Wendy Loong telah memuat naik satu karikatur dengan perkataan menghina Nabi Muhammad.
“Ini mendapat perhatian penggerak Pas yang kemudian telah bertindak membuat laporan polis ke atas individu terbabit,” katanya dalam kenyataan kepada media, di sini, hari ini.
Beliau menyatakan, agak menyedihkan apabila ada ahli agama hanya membiarkan sahaja situasi itu berlaku bagaikan tiada sensitiviti terhadap kesucian agama Islam.
Ujarnya, pendekatan “rahmatan lil ‘alamin” yang menjadi slogan kepada kerajaan baharu ini seolah mengizinkan sesiapa sahaja melakukan sesuka hati terhadap agama Islam.
Di sudut lain kata Salamiah, mereka yang marah dan mencela perbuatan itu dianggap sebagai golongan ekstrem dan keras hingga menjauhkan orang bukan Islam untuk mendekati agama Islam.
“Akhirnya salah faham berlaku dan perpecahan berlaku,” katanya.
Beliau menjelaskan, seharusnya kerajaan kembali melihat sirah Rasulullah sewaktu menyebarkan ajaran Islam dahulu telah menggunakan slogan “Aslim Taslam” yang membawa maksud, “dengan Islam kamu akan sejahtera”.
Ini katanya, membuktikan bahawa Islam datang dalam keadaan aman damai tanpa sebarang sengketa dan kebencian.
“Orang bukan Islam tidak perlu berasa terancam dengan penganut dan kepercayaan muslim hingga membuat provokasi menghina agama kerana ia tidak akan mengganggu-gugat pegangan dan kedudukan mereka dalam negara berbilang kaum dan bangsa di Malaysia.
“Mereka seharusnya mengamalkan sikap toleransi untuk membentuk sebuah negara yang sejahtera,” katanya.
Sehubungan itu, kerajaan Pakatan Harapan (PH) harus memainkan peranan penting dalam agenda penyatuan umat ini, bukan bertindak sebagai penambah perasa menghangatkan lagi perpecahan dan konflik yang berlaku.
Katanya, banyak tindakan proaktif yang boleh diambil dengan kerjasama NGO dan NGI bagi memulihkan situasi itu. – MalaysiaGazette