KUALA LUMPUR – Pergerakan Pemuda MIC Kebangsaan hari ini mempersoalkan jumlah wakil masyarakat India dalam kabinet kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang besar namun masih gagal memperjuangkan komuniti minoriti itu di negara ini.
Ketuanya, R. Thinalan berkata, sehingga kini, Menteri Jabatan Perdana Menteri (Perpaduan), Waytha Moorthy masih gagal memperkenalkan sebarang dasar untuk membela komuniti India yang terus menjadi mangsa diskriminasi.
“Waytha dulu kononnya jaguh kaum India yang dengan gah bertempur di jalanan, kini sudah bertukar seperti kucing jinak di tangan Perdana Menteri.
“Janji yang disandarkan oleh masyarakat India dengan angan-angan yang dijual dengan jumlah Menteri kaum India dalam Kabinet, kini hanya sekadar PH tinggal harapan.
“Apa guna bertambah jumlah Menteri kalau menteri-menteri masyarakat India ini tidak berfungsi,” katanya ketika berucap pada Konvensyen Pergerakan MIC Wanita, Pemuda, Putera dan Puteri Kebangsaan di sini hari ini.
Thinalan juga berkata, keadaan berbeza apabila MIC bersama Barisan Nasional (BN) menerajui Kerajaan Persekutuan sebelum ini mampu membawa agenda komuniti India walaupun jumlah Menteri kecil dalam Kabinet.
“Sewaktu MIC bersama BN memegang tampuk kerajaan dahulu, walaupun wakil dalam Kabinet kita lebih kecil, kita ada kerajaan yang berjaya memperjuangkan nasib orang India dengan pelancaran Malaysian Indian Blueprint.
“Pelbagai inisiatif pro-aktif Dasar Ekonomi Baru untuk masyarkat India seperti penekanan untuk pengambilan kouta 7 peratus di universiti awam,” katanya lagi. – MalaysiaGazette