Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Seri Azmin Ali ketika sidang media di Ibu Pejabat PKR, Petaling Jaya, Selangor. foto FAREEZ FADZIL, 21 SEPTEMBER 2018

KUALA LUMPUR – Pendirian Datuk Seri Mohamed Azmin Ali terhadap kenyataannya hari ini bahawa Tun Dr Mahathir Mohamad perlu diberi peluang memimpin hingga ke akhir penggal, dilihat canggung dengan ketetapan yang diambil oleh partinya.

Menurut penganalisis politik, Dr Kamarul Zaman Yusuf, Timbalan Presiden PKR itu dilihat cuba mempertikaikan ketetapan yang dicapai oleh partinya pada 24 Februari lalu.

“Kenyataan rasmi ini juga bercanggah dengan ketetapan Mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat PKR pada 24 Februari 2019 di mana Tun Dr Mahathir Mohamad diangkat menjadi Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menjadi Timbalan Perdana Menteri, manakala Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengambil alih sebagai Perdana Menteri ke-8 selepas tempoh 2 tahun”.

“Perkara yang terakhir ini memungkinkan Azmin dihadapkan ke Lembaga Disiplin parti kerana membuat kenyataan yang menentang keputusan rasmi parti,” katanya kepada MalaysiaGazette.

MGF11042017_IKSIM02
Dr Kamarul Zaman Yusuff

Azmin hari ini berkata, jaminan bahawa Dr Mahathir perlu diberikan mandat sehingga akhir penggal bagi menjamin kestabilan, kesinambungan dan ketuntasan dasar-dasar kerajaan.

Beliau berkata demikian bagi mengalu-alukan kenyataan Presiden PAS Abdul Hadi Awang yang menegaskan pendirian parti itu dan sekutunya UMNO yang menyokong Dr Mahathir.

“Pendirian tersebut adalah seiring pandangan yang pernah saya lontarkan supaya usaha mengembalikan kegemilangan negara dapat direalisasikan dengan segera,” katanya Menteri Hal Ehwal Ekonomi itu dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Dr Kamarul berkata, Azmin cuba untuk menghangatkan kembali persoalan mengenai kedudukannya dalam PKR.

“Kenyataan rasmi ini juga dilihat bermasalah kerana ia mengalu-alukan kenyataan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, yang menegaskan pendirian Pas dan UMNO untuk memberikan dukungan penuh kepada Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri sehingga akhir penggal sedangkan Pas dan UMNO adalah musuh utama parti beliau, PKR,” kata beliau lagi. -MalaysiaGazette

https://malaysiagazette.com/blog/2019/07/29/pendirian-pas-umno-seiring-pandangan-saya-azmin/

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast