KUALA LUMPUR – Menteri Kewangan, Lim Guan Eng diingatkan agar tidak ‘bermulut celupur’ apabila menghina bangsa Cina dan mengaitkannya dengan rasuah.
Amaran tegas itu dikeluarkan Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong yang melihat Setiausaha Agung DAP itu cuba mencemuh MCA tetapi mencampur adukkan kenyataannya menghina bangsa Cina.
Menurut Ka Siong, beliau kesal dengan sikap Guan Eng yang secara tiba-tiba menukar perkataan Chinese kepada Corruption merujuk kepada MCA.
“Guan Eng jangan cemuh perkataan Chinese, dikata Chinese itu Corruption. Kalau kamu nak marah MCA, marah sajalah, jangan ubah perkataan Chinese sebagai corruption,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Ka Siong berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Guan Eng apabila didakwa memfitnah dan menghina MCA dengan memberi gelaran “Malaysian Corruption Association”.
Guan Eng membuat kenyataan itu setelah mendakwa MCA tidak mengendahkan isu 1MDB serta menyokong ekstremisme selain cuba menghapus hak asasi bukan Islam serta menghapuskan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC).
Mengulas lanjut, Ka Siong mencabar agar Guan Eng membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sekiranya beliau mempunyai bukti yang menunjukkan bahawa MCA mengamalkan sikap tidak bermoral itu.
Katanya, sikap Guan Eng yang berdiam diri tanpa membawa perkara itu kepada pihak berkuasa jika beliau mempunyai bukti di atas tuduhannya menunjukkan bahawa dirinya cuba melindungi parti yang menjadi musuhnya.
Bagaimanapun, Ka Siong secara sinis tidak menjangkakan Guan Eng tidak mungkin memiliki hati yang baik seperti itu.
Dalam pada itu, Ka Siong mengingatkan Guan Eng dan bapanya Lim Kit Siang agar sedar bahawa perjuangan yang dilakukan MCA selama ini telah membolehkan mereka mendapat taraf kewarganegaraan dan membolehkan rakyat mengundi mereka dalam pilihan raya di bumi tercinta ini.
“Sekarang pula dimaki hamun macam tu memang orang ni tak layaklah. Kalau dia nak maki hamun MCA biar tunjuk buktinya.
“Jangan buat sebarangan dengan satu tuduhan tidak berasas. Buktikanlah kalau ada,” ujarnya.
Terdahulu, Ka Siong menyaksikan upacara menandatangani perjanjian antara Institut VTAR milik MCA dengan syarikat IME Trading Sdn. Bhd.
Hadir sama pada majlis itu, Ketua Pegawai Eksekutif VTAR, Tan Cheng Liang. – MalaysiaGazette