KUALA LUMPUR – Penyanyi remaja, Ismail Izzani, 19, mengalami kecederaan pada tangan kanan akibat terjatuh tangga semalam.
Jelasnya, dia bersyukur kerana tiada apa yang serius berlaku pada dirinya dan doktor mengesahkan tangan kanannya itu hanya mengalami bengkak di bahagian tisu.
“Pada yang tertanya-tanya apa yang berlaku pada saya, sebenarnya saya terjatuh tangga dan terduduk di tangan kanan menyebabkan tangan itu tercedera.
“Saya sudah jalani X-ray dan Alhamdulillah tiada apa yang serius. Tiada retak, tiada patah cuma tisu tangan sahaja yang bengkak.
“Doktor minta saya memakai tali anduh supaya saya tidak banyak menggunakan tangan kanan,”luah Ismail dalam Instastory miliknya sebentar tadi.
Semalam, penyanyi Luar Biasa itu memuat naik foto tangannya berbalut di Instagram menyebabkan ramai pengikutnya tertanya-tanya mengenai kecederaan yang menimpanya. – MalaysiaGazette