Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi

SABAK BERNAM – Penolakan seni khat dan tulisan Jawi dalam subjek Bahasa Melayu Tahun 4 di sekolah vernakular yang mula diperkenalkan tahun depan membuktikan Pertubuhan Dong Zong buta sejarah.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan, penolakan tulisan Jawi juga boleh dianggap sebagai menolak Bahasa Melayu yang menjadi bahasa kebangsaan di negara ini.

“UMNO berpandangan jika penolakan dibuat kerana kononnya tulisan Jawi sebahagian daripada tulisan Bahasa Melayu, ertinya mereka telah menjadi buta kepada sejarah.

“Ini kerana Bahasa Melayu itu bermula dengan tulisan Jawi.

“Dalam banyak terbitan sejarah dan kesusteraan Melayu lama, tulisan-tulisan berasaskan Jawi,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Sungai Besar, di sini, hari ini.

Beliau mengulas tindakan pertubuhan Dong Zong membantah penambahan seni khat dan tulisan Jawi dalam subjek Bahasa Melayu Tahun 4 di sekolah vernakular yang dirancang dilaksanakan mulai tahun depan.

Ahmad Zahid juga menegaskan pembelajaran dan pengajaran menggunakan tulisan Jawi perlu diteruskan untuk memartabatkan Bahasa Melayu itu sendiri.

“UMNO berpendirian bahawa matlamat untuk memartabatkan semula tulisan Jawi ini akan dijadikan salah satu elemen dalam pendidikan dan pengajaran Bahasa Melayu, ianya harus diteruskan,” katanya.

Beliau turut mencabar pemimpin Melayu dalam Pakatan Harapan (PH) bersuara dan mempertahankan tulisan Jawi yang mahu diperkenalkan dalam sistem pendidikan negara.

“Kita mahu dengar pandangan pemimpin-pemimpin Melayu di dalam Kerajaan PH terhadap isu ini

“Mereka harus bangun untuk mempertahankan dan mereka jangan ambil sikap menikus terhadap isu ini.

“Mereka mesti berani menyatakan pendirian sebagaimana UMNO mempertahankan isu ini,” katanya.

Sementara itu, Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos menyifatkan pemimpin Melayu PH tiada keberanian untuk mempertahankan tulisan Jawi.

“Pemimpin-pemimpin Melayu dalam PH tiada ‘telur’ kerana mereka tak berani mempertahankan hak Melayu yang sepatutnya.

“Kami UMNO ini pembangkang, jadi pemimpin Melayu seperti Khalid Samad, Mujahad (Mujahid Yusof) puak-puak ini saya anggap pemimpin Melayu yang tiada ‘telur’.

“Hak keistimewaan orang Melayu, hak yang memang bila sebut tulisan Jawi ini adalah Melayu, mereka tidak dapat mempertahankannya,” tegasnya.

Jamal turut merakamkan penghargaan kepada Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik yang merupakan satu-satu pemimpin yang masih mempunyai jiwa Melayu dalam isu tulisan Jawi ini.

“Syabas dan tahniah kepada Dr Maszlee Menteri Pendidikan yang mencadangkan perkara ini.

“Saya nampak Dr Maszlee ini walaupun nampak ‘bodoh-bodoh’ tapi ada ciri-ciri kemelayuan beliau,” katanya lagi. – MalaysiaGazette