Dr Mohamad Khir Toyo

KUALA LUMPUR – Speaker Dewan Undangan Negeri Selangor disifatkan sebagai kaduk naik junjung, cacing naik ke mata apabila didakwa cuba mencampuri urusan agama Islam.

Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo mendakwa, tindakan Speaker memendekkan tempoh masa perbahasan tanpa berbincang dengan kerajaan negeri mempunyai alasan tersiratnya.

Beliau didakwa cuba menghalang Exco Agama Islam, iaitu menteri besar sendiri membentangkan rang undang-undang (pindaan) memeluk agama Islam.

Khir mendakwa, tindakan Speaker dari DAP menghalang Amirudin Shari membawa usul tersebut adalah amat menjijikkan lebih-lebih lagi melakukannya melalui pintu belakang.

Malah, bekas Menteri Besar Selangor itu menyifatkan tindakan DAP ini sangat pengecut, selain menunjukkan mereka mahu sangat mencampuri urusan umat Islam di negara ini.

Sedangkan, katanya, usul pindaan ini adalah untuk mengemaskini proses pemelukan seseorang ke agama Islam dan hanya melibatkan individu beragama Islam sahaja .

“Setiap tindakan itu ada tindak balasnya, semua perkara ada batasnya.

“Bagi saya speaker DUN Selangor ini tidak boleh dibiar tanpa tindakan, sewajarnya mesti diambil tindakan tegas ke atasnya.

“MB mesti bertindak, jangan biarkan sikap kurang ajar ini berlarutan, ia akan merosakkan sistem demokrasi dan pembahagian kuasa antara Speaker dan kuasa eksekutif institusi MB.

“Kaduk naik junjung ,cacing naik ke mata, inilah yang telah DAP lakukan,” kata Khir melalui hantaran di Facebooknya.

Tegas beliau, agama Islam adalah di bawah bidang kuasa Tuanku Sultan Selangor dan menghalang usul ini boleh dianggap menafikan kuasa yang diletakkan di bawah kuasa Sultan.

Ia boleh ditakrif DAP cuba menidakkan kuasa Sultan dan merupakan satu bentuk penderhakaan.

“Jangan melampau, sabar kami ada batasnya. Jangan cuba berenang di lautan api, padahnya tak terperi,” tegas beliau.

Dua hari lalu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) dan Pas Selangor melahirkan kesal apabila kerajaan negeri menolak dua usul berkaitan pemerkasaan institusi agama Islam di negeri itu.

Kedua-duanya masing-masing diusulkan ADUN Sijangkang, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi dan juga ADUN Hulu Kelang, Saari Sungib.

Dr Ahmad Yunus tidak menolak terdapat campur tangan daripada pihak tertentu dalam DUN Selangor yang tidak selesa terhadap usul berkaitan kepentingan orang Islam.

“Saya dapat tahu masa Mesyuarat ‘pre-council’ kerajaan, satu usul untuk meminda Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 yang menjadi Warta Kerajaan patut dibentang pada

Sidang DUN baru-baru ini tiada dalam senarai agenda hinggalah hari terakhir Sidang DUN (31 Julai) lalu,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau yang juga Pesuruhjaya Pas Selangor berkata, sekiranya benar usul tersebut ‘dihilangkan’ oleh permainan politik individu tertentu, pihaknya mengecam tindakan berkenaan yang disifatkan cubaan menzahirkan kebencian terhadap Islam dan Ketua Agama Islam di negeri ini.

Perkara itu dilihat luar biasa kerana usul itu turut dibawa oleh ADUN kerajaan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast