Najib Razak

PUTRAJAYA – Mahkamah Rayuan hari ini mengesahkan keputusan Mahkamah Tinggi bahawa perbicaraan kes bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak atas dakwaan rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) akan bermula pada 19 Ogos.

Panel tiga hakim terdiri daripada Datuk Abdul Rahman Sebli, Datuk Zabariah Mohd Yusof dan Datuk Hasnah Mohammed Hashim, dalam keputusan sebulat suara, menolak kedua-dua rayuan yang difailkan pihak pendakwaan serta pembelaan.

“Ini bukanlah kes yang patut dan sesuai untuk campur tangan mahkamah rayuan,” kata Hakim Abdul Rahman, yang mengetuai panel hakim itu.

Beliau berkata, mahkamah tidak diyakinkan bahawa hakim yang berkenaan telah melaksanakan budi bicaranya atas prinsip yang salah dalam menolak permohonan untuk penangguhan.

“Yang arif hakim telah pun mengemukakan alasan beliau, dan kami berpendapat bahawa alasan yang beliau beri adalah sah,” katanya ketika mengesahkan keputusan Mahkamah Tinggi itu.

Hakim Abdul Rahman berkata, hakim Mahkamah Tinggi turut menjelaskan kepada pihak-pihak yang berkenaan bahawa beliau bersedia untuk memenuhi jadual kedua-dua pihak apabila perlu.

“Selain itu, yang arif hakim telah memberi kebebasan kepada pihak-pihak untuk memohon tarikh dikosongkan untuk perbicaraan kes SRC International Sdn Bhd diteruskan,” katanya.

Hakim Abdul Rahman berkata pendakwaan tidak boleh memilih untuk mengenakan pertuduhan berganda dan kemudian memilih untuk menangguhkannya; satu kes mesti diselesaikan terlebih dahulu sebelum kes yang satu lagi, dan menambah, mahkamah tidak boleh digunakan semata-mata sebagai repositori.

Pada 18 Julai, Hakim Mahkamah Tinggi Collin Lawrence Sequerah menolak permohonan pendakwaan untuk menangguhkan perbicaraan itu, yang juga dikenali sebagai ‘perbicaraan Tanore’.

Pendakwaan mengemukakan permohonan kepada Mahkamah Tinggi untuk perbicaraan ditangguhkan buat kali keempat sehingga selesai kes Najib berkaitan dana SRC International Sdn Bhd.

Najib, 66, berdepan empat pertuduhan di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana 1MDB, berjumlah RM2.28 bilion.

Anggota Parlimen Pekan itu didakwa melakukan kesalahan itu di AmIslamic Bank Bhd, No 55, Jalan Raja Chulan, Bukit Ceylon, antara 2011 dan 2014.

Mengenai perbicaraan kes SRC yang sedang berjalan, Najib berdepan tujuh pertuduhan membabitkan dana SRC berjumlah RM42 juta iaitu tiga pertuduhan pecah amanah, satu pertuduhan salah guna kuasa dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram.

Peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, yang mewakili Najib, memaklumkan mahkamah bahawa beliau mendapat arahan untuk memfailkan rayuan di Mahkamah Persekutuan.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Izzat Fauzan berkata pendakwaan akan turut merayu terhadap keputusan hari ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast