KAJANG – Gabungan Jawatankuasa Sekolah Cina (Dong Zong) menyambut baik tindakan Badan Gabungan dan NGO-NGO Nasionalis SeMalaysia hari ini yang menyerahkan memorandum agar mereka menghormati tulisan Jawi.
Ahli Jawatankuasa Pusat Dong Zong, Low Chee Chong berkata, walaupun akur menghormati pandangan semua pihak namun pihaknya akan meneliti memorandum sebelum memberi sebarang maklum balas.
“Kita mempunyai pandangan berbeza-beza, kita satu pertubuhan, kita hormati semua pandangan
“Jadi kita rasa gembira ada beberapa kesungguhan untuk serah memorandum, kita akan serah memorandum ini kepada jawatankuasa untuk berbincang, untuk kita tengok apa isi kandungan memorandum ini.
“Mungkin (selepas ini) kita boleh ada peluang untuk jelaskan apa pandangan kita,” katanya kepada pemberita selepas menerima memorandum berkenaan di luar pekarangan ibu pejabat Dong Zong, di sini, hari ini.
Sabtu lalu, dua pertubuhan Cina, Dong Zong dan Gabungan Persatuan Guru-guru Sekolah Cina Malaysia (Jiao Zong) menafikan mahu menganjurkan satu perhimpunan bagi membantah tindakan Kementerian Pendidikan yang akan memperkenalkan tulisan khat dan Jawi dalam buku teks sekolah.
Sebaliknya dua pertubuhan itu mahu mengadakan satu mesyuarat dalaman melibatkan beberapa pertubuhan pelbagai kaum bagi membincangkan isu penambahan seni khat dalam subjek Bahasa Melayu di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT).
Sebelum ini, Sin Chew edisi Mandarin melaporkan Dong Jiao Zong akan mengadakan perhimpunan bagi membantah kerajaan memperkenalkan seni khat Jawi dalam buku teks bahasa Melayu di ibu pejabat mereka di Kajang.
Dalam portal versi bahasa Inggeris akhbar itu pula turut melaporkan hal tersebut dengan judul “Dong Jiao Zong rally against Jawi on Monday”
Chee Chong berkata, pihaknya perlu meneliti terlebih dahulu isi kandungan memorandum tersebut sebelum sebarang tindakan diambil termasuk menganjurkan dialog bersam pertubuhan Melayu itu.
“Nanti kita baca dulu sebab kita belum tahu apa isi kandungan memorandum, biar kita baca dan faham dulu baru kita akan tengok nak buat macam mana,” katanya lagi. – MalaysiaGazette