SC
Suruhanjaya Sekuriti

KUALA LUMPUR- Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) mengumumkan penstrukturan semula organisasi dan beberapa pelantikan pengurusan kanan bagi memperkukuh kedudukan pengawal selia itu untuk memacu perubahan dalam ekosistem pasaran modal dan memenuhi keperluan pihak berkepentingan yang semakin berkembang.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Zainal Izlan Zainal Abidin berkata, SC kini mempunyai penyeliaan langsung terhadap fungsi pengawasan dan pemantauan serta kumpulan urusan Sumber Korporat yang diperluaskan yang merangkumi jabatan Teknologi dan Pembangunan Manusia dan Organisasi.

Dengan itu, SC mengumumkan pelantikan Nadiah Abdullah sebagai Pengarah Eksekutif Sumber Korporat SC yang baharu berkuat kuasa 5 Ogos 2019 bagi menggantikan Tengku Zarina Tengku Chik, yang memegang jawatan baharu sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Securities Industry Development Corporation (SIDC) berkuat kuasa 1 September 2019.

Nadiah mempunyai pengalaman lebih 25 tahun dalam pengurusan perundingan, transformasi korporat, kepimpinan dan pengurusan bakat serta integrasi perniagaan dan teknologi Accenture Sime Darby Bhd dan AirAsia Bhd.

“Sejajar dengan visi SC untuk menggalakkan inovasi bagi memacu kelebihan daya saing dalam pasaran modal, kumpulan urusan Pembangunan & Pasaran Islam akan diasingkan bagi memudahcarakan tumpuan yang lebih jelas terhadap pembangunan jangka yang lebih panjang bagi pasaran modal dan pasaran modal Islam yang lebih meluas,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Dalam pada itu, Salmah Bee Mohd Mydin, yang telah berkhidmat dengan SC selama 25 tahun dalam pelbagai peranan termasuk penguatkuasaan, pengawasan dan pelesenan, telah dinaikkan pangkat sebagai Pengarah Eksekutif kumpulan urusan Pembangunan Pasaran berkuat kuasa 1 Ogos 2019.

Untuk membangunkan lebih banyak dasar menyeluruh yang akan memacu pertumbuhan masa depan dan daya saing pasaran modal, kumpulan urusan Pembangunan Pasaran akan mengendalikan perancangan dan strategi korporat keseluruhan SC.

Fungsi tersebut akan diketuai oleh Dr Wong Huei Ching.

Manakala Ketua Pegawai Eksekutif SIDC, Sharifatul Hanizah Said Ali akan menyertai SC sebagai Pengarah Eksekutif untuk mengetuai kumpulan urusan Pembangunan Pasaran Modal Islam berkuat kuasa 10 Ogos 2019.

Selain itu, SC turut mengumumkan pelantikan Sharifatul Hanizah, seorang ahli profesional industri perkhidmatan kewangan dengan pengalaman lebih tiga dekad yang akan ditugaskan untuk mengenal pasti bidang pertumbuhan baharu bagi pasaran modal Islam ke arah kedudukan di peringkat global yang bersedia menghadapi masa hadapan. -MalaysiaGazette