Noor Hisham Abdullah
Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki berumur 46 tahun dari Kota Padawan, Kuching, Sarawak disahkan jangkitan rabies melalui ujian makmal oleh Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) semalam.

Pesakit yang meninggal dunia Rabu lalu dikenal pasti mempunyai sejarah digigit oleh anak anjing peliharaannya di bahagian belakang tapak tangan kanan pada 15 Jun lalu.

Kejadian berlaku semasa beliau menangkap anjing tersebut yang merayau di luar kawasan rumahnya.

“Pada hari yang sama juga anak perempuan beliau yang berumur lapan (8) tahun telah digigit oleh anjing tersebut.

“Anak anjing ini diambil daripada seorang rakan beliau yang tinggal di Kuching pada penghujung bulan Mei 2019 lalu dengan status pelalian rabies anjing tersebut tidak diketahui,” kata Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataan di sini.

Perkembangan terbaharu ini menjadikan kes disahkan rabies dalam kalangan manusia di Sarawak semenjak pengisytiharan wabak pada 1 Julai 2017 adalah 20 kes termasuk 9 kematian.

Katanya, kes tersebut merupakan yang keempat mangsa gigitan anjing yang diambil dari individu lain dengan status vaksinasi rabies haiwan tersebut tidak diketahui.

“Justeru, KKM ingin sekali lagi memberi penekanan kepada orang ramai khususnya di Sarawak agar tidak mengambil/memungut anjing atau haiwan lain yang tidak diketahui status suntikan vaksin rabies, walaupun ia berada dalam kawasan kejiranan.

“Ini kerana dikhuatiri kemungkinan haiwan tersebut telah dijangkiti virus rabies dan ia sedang dalam tempoh pengeraman sebelum haiwan menunjukkan gejala,” kata Dr Noor Hisham.

Beliau turut mengingatkan sesiapa yang mengalami gigitan anjing supaya mencuci luka gigitan dengan sabun dan air yang mengalir sekurang-kurangnya 15 minit dan segera mendapatkan rawatan di klinik atau hospital kerajaan berdekatan. – MalaysiaGazette