Shahril Effendi Abd Ghany melihat pameran di Pusat Kajian Malaysia yang pertama di Bangunan Makmal Penyelidikan, Universiti Soka, Tokyo.

KUALA LUMPUR – Pusat Kajian Malaysia yang pertama di Jepun telah dibuka secara rasminya di Bangunan Makmal Penyelidikan, Universiti Soka, Tokyo, pada 25 April lalu.

Perasmian pusat kajian ini telah disempurnakan oleh Datuk Shahril Effendi Abd Ghany, Duta Besar Malaysia ke Jepun, turut dihadiri oleh Presiden Universiti Soka, Prof. Suzuki Masashi, Prof. Dr. Kadaruddin Aiyub, Dekan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia dan Prof. Dr. Hanafi Hussin, Dekan Fakulti Seni dan Sains Sosial, Universiti Malaya.

Pembukaan pusat ini untuk mempromosikan penyelidikan berkaitan Malaysia dari perspektif kemanusiaan dan sains sosial, selain menggalakkan kerjasama penyelidikan antarabangsa dengan memberi tumpuan terhadap isu-isu sosial di kedua-dua negara.

Dalam ucapan perasmian, Shahril menyatakan hubungan akrab di antara kedua-dua negara yang terbentuk sejak tahun 1957 memberikan peranan penting kepada pembangunan sumber manusia, terutamanya melalui pewujudan Dasar Pandang ke Timur atau Look East Policy (LEP) pada tahun 1981.

“Selama bertahun-tahun, LEP telah menjadi salah satu pemangkin kepada anjakan pertumbuhan ekonomi dan pendidikan di Malaysia melalui penekanan terhadap pemindahan kemahiran, budaya kerja, pengetahuan, disiplin dan nilai-nilai murni masyarakat Jepun melalui penglibatan pelajar-pelajar dan pelatih-pelatih Malaysia yang menyambung pelajaran dan latihan di Jepun.

“Pembukaan Pusat Kajian Malaysia ini juga bertepatan dengan objektif Perkongsian Strategik dan Komprehensif Malaysia-Jepun yang diumumkan oleh kedua-dua pemimpin negara pada Disember tahun lepas,” katanya.

Dalam pada itu, Masashi berkata, pusat kajian yang ditubuhkan ini bakal memainkan peranan dalam meningkatkan wacana ilmiah dalam bidang kemanusiaan dan sosial sains.

Beliau yakin bahawa pusat kajian ini akan dapat berfungsi sebagai mercu tanda kerjasama penyelidikan antarabangsa, dengan
memberi tumpuan kepada cabaran-cabaran masyarakat yang didepani oleh kedua-dua negara.

Kerjasama di antara Universiti Soka dan institusi-institusi akademik di Malaysia telah bermula sejak tahun 1988 apabila mendiang Dr. Daisaku Ikeda, Pengasas Universiti Soka memulakan kerjasama dengan Universiti Malaya.

Kerjasama tersebut telah membuka peluang bagi pertukaran akademik, penganjuran simposium serta inisiatif penyelidikan berimpak tinggi.

Kini, Universiti Soka turut melebarkan rangkaian pendidikannya di Malaysia dengan membuka Sekolah Antarabangsa Soka di Negeri
Sembilan, dan Tadika Seri Soka di Cheras, Selangor. – MalaysiaGazette