Khalid Ismath

KUALA LUMPUR – Orang ramai perlu tanamkan sifat sabar dan mengawal sikap panas baran terutama ketika berada di jalan raya, bagi mengelak berlaku kejadian tidak diingini seperti menyebabkan kematian ketika kemalangan.

Aktivis politik, Khalid Ismath berkata, kemalangan yang melibatkan kerosakan kenderaan boleh diselesaikan sekiranya kedua-dua pihak berunding secara baik.

Katanya, beliau hairan dengan sikap segelintir rakyat Malaysia sanggup bergaduh sehingga mengundang kehilangan nyawa bagi satu pihak, daripada berbincang mencari jalan penyelesaian.

“Apa sudah berlaku kepada rakan kita di Malaysia ini? Jika terlibat kemalangan, anda boleh membuat tuntutan dari syarikat insurans untuk membaiki kenderaan.

“Jika kedua-dua pihak keras kepala, panas baran dan menganggap bergaduh, pukul memukul boleh menyelesaikan kes, itu salah.

“Bagaimana jika lawan anda itu cedera parah dan meninggal dunia, siapa yang susah? Akhirnya naik ke mahkamah dan dijatuhkan hukuman setimpal. Di situ, sesal sudah tak berguna lagi,” katanya dalam ciapan Twitternya hari ini.

Beliau membuat posting itu merujuk kejadian kemalangan jalan raya di KM239 Lebuhraya Kuala Lumpur – Seremban, berhampiran susur Bandar Baru Bangi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.40 tengah hari itu, seorang lelaki maut dipercayai terbabit dalam pergelutan susulan perselisihan faham yang berpunca dari kemalangan jalan raya.

Mangsa, Syed Muhammad Danial Syed Syakir, 29, dikejarkan ke Hospital Nilai selepas bergelut dengan suspek, Yew Wei Liang, 41.

Mangsa bagaimanapun, disahkan meninggal dunia dan suspek serta isterinya berusia lewat 30-an ditahan polis untuk membantu siasatan. – MalaysiaGazette

Artikel berkaitan

https://malaysiagazette.com/blog/2019/08/11/lelaki-maut-selepas-bergelut-akibat-kemalangan-jalan-raya/

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast