Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Darell Leiking bercakap kepada media pada Sidang Kemuncak Aeroangkasa Malaysia 2019 di Menara MITI, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 15 OGOS 2019

KUALA LUMPUR – Kelulusan sebuah agensi kerajaan untuk membeli saham dalam DreamEDGE Sdn. Bhd. (DreamEDGE) berlaku pada tahun 2017.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Darell Leiking menjelaskan, kelulusan itu bukan dibuat ketika kerajaan Pakatan Harapan (PH) mentadbir negara ini.

Beliau turut mempersoalkan siapakah Menteri Kewangan yang juga Perdana Menteri ketika itu yang memberi kelulusan pembelian saham tersebut.

“Saya dengar sepenuh rakaman audio soalan yang ditanya media dan jawapan oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Sebenarnya Tun cakap sangat jelas yang merujuk kepada kelulusan pembelian saham yang dibuat ke atas DreamEGDE pada 2017.

“Kelulusan itu dibuat bukan pada zaman kerajaan PH memerintah dan siapakah Menteri Kewangan ketika itu yang juga Perdana Menteri memberi kelulusan.

“Namun Tun memberi kelulusan untuk memilih DreamEDGE sebagai syarikat utama bagi membangunkan projek kereta nasional ketiga negara,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Sidang Kemuncak Aerospace Malaysia 2019 di sini hari ini.

Darell diminta mengulas kenyataan Dr Mahathir kelmarin yang menafikan beliau memberi kelulusan kepada sebuah agensi kerajaan untuk membeli saham dalam DreamEDGE iaitu syarikat utama bagi membangunkan projek kereta nasional ketiga negara yang diumumkan baru-baru ini.

Darell menambah, pada tahun 2017, Venturetech Sdn. Bhd. yang sebelum ini dikenali A-Bio Sdn. Bhd. telah membuat pelaburan ke atas DreamEDGE berserta saham yang boleh ditebus semula yang belum dilaksanakan.

“Kita dapati, A-Bio dimiliki Kumpulan Industri-Kerajaan bagi Teknologi Tinggi (MIGHT) yang merupakan agensi kerajaan.

“Apa yang saya faham dalam perniagaan, apabila satu syarikat dihubungkan dengan syarikat milik kerajaan, mereka ingin mencipta peluang perniagaan dan akhirnya mereka menggunakan dana sendiri. Kita ada banyak syarikat yang menggunakan dana sendiri sebelum ini,” katanya.

Dalam pada itu, Darell menjelaskan definasi kereta nasional ketiga adalah dihasil di Malaysia dengan menggunakan 90 peratus pekerja tempatan. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here

Comment moderation is enabled. Your comment may take some time to appear.