KUALA LUMPUR – Setiap warga negara tidak kira bangsa atau agama harus berterima kasih kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Ketua Wirawati Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Dr. Asmah Razalli berkata, mereka tidak seharusnya berlaku biadab serta memandang sebelah mata terhadap anggota tentera kerana tanpa pasukan keselamatan itu, negara tidak mungkin berada dalam keadaan aman seperti dikecapi hari ini.

Justeru, katanya, kerajaan Malaysia perlu lebih lagi mengambil berat segala kebajikan, urusan kedaulatan dan keamanan negara.

“Sebagai warganegara Malaysia, kita wajib berterima kasih, bukannya biadab serta memandang sebelah mata kepada ATM.

“Tanpa anggota tentera yang hebat dan jitu mengawal negara, Malaysia tidak mungkin aman dan berdaulat, apatah lagi ahli-ahli perniagaan yang kaya raya hari ini adalah hasil pengorbanan tentera,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, semalam.

Beliau turut mengecam kenyataan biadab jutawan Koon Yew Yin yang setelah berpuluh tahun mengumpul kekayaan dengan keselamatan negara dijaga oleh tentera di darat, udara dan laut, tiba-tiba menghina anggota tentera.

Jelas Dr. Asmah, kenyataan Yew Yin itu harus dipersoalkan dan tindakan sewajarnya perlu diambil agar tiada lagi warganegara bersifat biadab serta menunjukkan ciri-ciri mengkhianati bumi berdaulat ini.

“Ini bukan kali pertama taikun Gamuda Berhad itu mengeluarkan kenyataan biadab, sebelum ini dia pernah dipecat dari menjadi anggota Majlis Penasihat Negeri Perak kerana menfitnah Almarhum Sultan Azlan Shah pada November tahun lalu.

“Kerajaan Malaysia sebenarnya tidak memerlukan warga negara biadab seperti Yew Yin, kerana ternyata beliau tidak pernah mahu belajar berterima kasih, bersyukur dan hormat kepada kedaulatan negara.

“Walaupun beliau telah meminta maaf, tidak semestinya kutukan dan kecaman terhadap perbuatannya itu boleh dihentikan. Beliau memang patut diberi pengajaran secukupnya supaya sedar akan kesilapannya,” kata beliau.

Dr. Asmah turut menempelak kenyataan Yew Yin bahawa beliau antara pembayar cukai terbanyak.

Sindirnya, cukai yang dibayar oleh individu yang tidak menghormati kedaulatan negara tidak mungkin mampu menyamai segala jasa serta ketaatan pasukan tentera yang hebat dalam mendaulatkan keselamatan perairan, daratan serta laluan udara negara.

“Amatlah malang bagi seorang rakyat Malaysia yang telah menyedut kekayaan dari bumi Malaysia yang aman ini mahu mendabik dada mengatakan ATM hanya tahu makan dan tidur serta layak menggantikan kerja buruh di ladang.

“Sedangkan segala keamanan dan kemakmuran yang kita nikmati hari ini adalah hasil kerja keras anggota tentera. Tiada satupun kemakmuran sebuah negara tanpa kehebatan anggota keselamatannya,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast