Hotel Monopoly Mansion by Sirocco, Kuala Lumpur mencetus kelainan apabila sesi temudyuga menetapkan tema ‘Gatsby’ iaitu gaya barat pada era 1920-an.

KUALA LUMPUR – Dipanggil untuk hadir ke sesi temuduga menjadi satu pengalaman yang cukup mengujakan. Walaupun tidak ada sebarang jaminan yang kita pasti akan dapat pekerjaan tersebut, namun peluang itu tidak harusnya disia-siakan.

Bagi calon lelaki, pasti terbayang etika sesi temuduga yang berpakaian formal, berkemeja, bertali leher, seluar ‘slack’ licin dan rambut disisir rapi.

Jangan sesekali membuat sedikit kelainan apabila memakai pakaian yang hanya sesuai untuk majlis-majlis lain seperti warna blazer, topi dan seluar jenis khakis.

Namun bagi Hotel Monopoly Mansion by Sirocco, Kuala Lumpur, selari dengan perubahan waktu, sesi temuduga yang diadakan baru-baru ini mencetus kelainan apabila menetapkan tema ‘Gatsby’ iaitu gaya barat pada era 1920-an.

Malah majoriti calon yang hadir temuduga sanggup bergaya sakan dan tidak kisah ‘kepanasan’ dan apabila menunggu sesi itu yang bermula pukul 10 pagi hingga 4 petang.

Sebagai tanda komitmen tinggi, ada pula yang meminjam aksesori dan pakaian daripada rakan serta ahli keluarga terdekat.

Bagi seorang calon, Muhammad Iskandar Ramlan, 22, dia membuat persiapan awal bagi memastikan hadir ke temuduga mengikut tema ditetapkan.

Penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM) Puncak Alam itu menunjukkan kesungguhan bukan saja dapat dilihat menerusi pakaiannya tetapi tongkat yang dibawa bersama ke sesi temuduga berkenaan.

“Saya tahu mengenai adanya sesi temuduga ini pada minggu lalu menerusi Instagram (IG) personaliti media sosial, Ron Khamisan dan hadir kerana mahu mencari peluang bekerja sambilan.

WhatsApp Image 2019-08-08 at 18.22.09 (1)
Calon temuduga menunjukkan komitmen apabila hadir dengan gaya barat pada era 1920-an.

“Walaupun kali pertama menghadiri temuduga, saya beranikan diri untuk datang kerana tertarik dengan kelainan yang ditetapkan.

“Bagi mengikut tema, saya terpaksa meminjam topi beret daripada rakan, manakala blazer dan tongkat kepunyaan ayah,” katanya berterus-terang.

Seorang lagi calon, Megat Iskandar Shah Megat Shahrul Anuar memberitahu, dia bernasib baik kerana dapat hadir mengikut tema berikutan sudah mempunyai koleksi pakaian formal di dalam simpanan dan hanya mengikut kesesuaian tema.

Jelas jejaka berusia 22 tahun itu, ini kerana dia sudah sudah biasa berpakaian formal antaranya ketika menghadiri majlis makan malam.

“Cuma bezanya kali ini saya perlu bergaya ala ‘Gatsby’ untuk ke sesi temuduga kerja.

“Satu konsep temuduga yang lain daripada lain tetapi saya selesa dan tiada masalah kerana tidak perlu membeli pakaian berkenaan memandangkan ia sudah sedia ada di rumah,” katanya yang menetap di Ampang.

Bagi Muhamad Shahmi Shahaizi, 22, pula mengakui dia ingin mencari pengalaman baharu berikutan tema yang ditetapkan untuk ke sesi temuduga itu.

“Tema ini unik kerana boleh menarik anak muda hadir ke sesi temuduga tanpa berasa takut dan memberi keyakinan diri.

“Saya pula suka mencuba benda baru jadi apa salahnya datang, mana tahu ada rezeki. Lagipun, jarang ada peluang untuk berpakaian sebegini, jadi apa salahnya datang,” katanya.

Sementara itu, sesi emuduga itu menawarkan jawatan pegawai jualan dan pemasaran, makanan dan minuman (F&B), kejuruteraan, sumber manusia, kawalan dan keselamatan, kewangan, eksekutif pejabat dan bidang perkemasan (housekeeping) di Hotel Monopoly Mansion by Sirocco, Kuala Lumpur. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here

Comment moderation is enabled. Your comment may take some time to appear.