Nasrul Ali Hasan Abdul Latif
Nasrul Ali Hasan Abdul Latif

KUALA LUMPUR – Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Pendidikan didakwa antara dua Kabinet kerajaan yang gagal menangani isu perkauman yang dicetuskan pertubuhan rasis, kata Pergerakan Wira Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra).

Ketua Wiranya, Nasrul Ali Hasan Abdul Latif berkata, kegagalan KDN ialah mengharamkan Persekutuan Persatuan-persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Dong), manakala Kementerian Pendidikan gagal memartabatkan pendidikan bahasa Melayu dengan menambah pembelajaran tulisan khat Jawi.

Beliau menjelaskan, walaupun parti itu telah menyerahkan memorandum kepada polis Bukit Aman menggesa kerajaan mengharamkan Dong Zong, namun belum ada sebarang tindakan diambil KDN terhadap pertubuhan rasis itu.

“Kerajaan yang baik sepatutnya segera mengambil tindakan kepada pihak atau individu terbabit apabila berlaku perancangan atau usaha ke arah mengancam keselamatan dan keharmonian negara dengan perbuatan menghasut.

“Kita masih optimis Dong Zong diharamkan kerana banyak bukti melalui kenyataan dan tindak-tanduk mereka tidak menunjukkan sifat nasionalis dan cintakan tanah air.

“Lebih lagi apabila mereka cuba melibatkan negara luar bagi mendapatkan sokongan,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, hari ini.

Menurut Nasrul Ali Hasan, berdasarkan keputusan mesyuarat Kabinet Rabu lalu, Dr. Maszlee Malik langsung tidak bertegas apabila dengan mudah tunduk kepada tekanan jemaah menteri yang sebahagian besarnya mendokong dan menyokong Dong Zong.

Katanya, beliau sebaliknya mengambil jalan mudah memberi kuasa kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) bagi menetapkan tulisan khat Jawi sebagai kurikulum yang perlu diajar di sekolah kerajaan.

“Keputusan memperlekehkan kuasa menteri ini tidak pernah berlaku sepanjang kewujudan Kementerian Pendidikan bawah kerajaan Barisan Nasional (BN).

“Dr. Maszlee sepatutnya lebih tegas dan berani, jangan jadi pak turut dengan desakan pertubuhan rasis yang tidak tentu hala dan merasakan mereka lebih besar kerana ada sokongan kuat dari kerajaan China.

“Jika usaha baik ini gagal dilaksanakan dan Dr.Maszlee masih menari ikut rentak Dong Zong, lebih baik pindahkan sahaja kementerian itu ke bangunan Dong Zong,” ujarnya.

Wira Putra turut menyindir Dr. Maszlee agar menyerahkan sahaja kuasa kementerian itu kepada Dong Zong supaya pertubuhan rasis itu boleh membuat aturan dan keputusan sendiri bagi menentukan Dasar Pendidikan Nasional.

Jika dalam tempoh terdekat ini beliau masih menuruti kehendak Dong Zong, ia akan memberi kemenangan dan kejayaan besar bagi pertubuhan rasis itu.

“Kalau ini berlaku, semulia-mulia tindakan perlu dilakukan Dr. Maszlee ialah meletakkan jawatan secara terhormat kerana gagal bertegas dalam menguruskan kementeriannya, yang turut ditegur oleh Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai usaha pihak tertentu melibatkan negara luar, Nasrul Ali Hasan berkata, perbuatan itu menggambarkan seolah mereka tidak lagi bergantung harap pada kerajaan Malaysia.

“Sebaiknya segera diharamkan pertubuhan ini dan minta mereka pulangkan kembali kewarganegaraan dan berpindah pulang ke negara China serta buka Dong Zong di sana.

“Jika tidak mampu untuk beli tiket kapal terbang, orang Melayu sedia membina tongkang khas yang muatannya juga besar bagi memberi laluan mereka yang rasis ini pulang ke tanah air yang mereka banggakan ini,” sindirnya.

Jelas kerajaan hari ini, tegasnya gagal menegakkan “Rule of Law” dan gagal melaksanakan dasar nasional yang berteraskan asas Perlembagaan Negara.

“Ia amat memalukan bila gagal pertahan dan melaksanakan pengajaran tulisan khat Jawi yang merupakan perkara kecil sahaja.

“Menteri Kabinet Pakatan Harapan (PH) pula jelas tidak menghormati wawasan Dr. Mahathir dan meletakkan kerajaan itu hilang integriti apabila menteri lain mencampuri urusan kementerian lain dan tidak mementingkan Dasar Nasional Negara,” katanya. – MalaysiaGazette