KUALA LUMPUR – Mungkin sejak akhir-akhir ini, terdapat penyokong tegar termasuk ahli akar umbi dan rakyat kecewa dengan pelbagai polisi serta pusingan ‘U’ yang dilakukan oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Antara yang banyak menjadi perdebatan termasuk isu berkaitan syarikat nadir bumi, dengan kerajaan membenarkan lesen operasi Lynas Malaysia Sdn Bhd (Lynas) diperbaharui.

Sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 kehadiran Lynas ditentang habis-habisan.

Selain itu isu pembelajaran tulisan Jawi dalam mata pelajaran Bahasa Melayu kepada murid sekolah rendah Tahun 4 di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan mulai 2020 turut mengundang kebimbangan dalam kalangan bukan Melayu di negara ini.

Antara yang terkena tempias ‘teruk’ adalah DAP kerana banyak isu tidak dapat di selesaikan.

Ada ketika mereka menuding jari pada kerajaan terdahulu walaupun kini kuasa penuh ada dalam tangan.

Ramai juga pimpinan DAP itu dipersoal oleh penyokong sendiri bahkan Penasihatnya, Lim Kit Siang sendiri tampil membuat pendedahan parti itu sudah kehilangan sokongan sehingga 30 hingga 40 peratus berikutan krisis demi krisis muncul.

Terbaru, Ahli Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP merangkap EXCO Selangor, Datuk Teng Chang Khim meluahkan ‘rasa’ dalam laman Facebook beliau.

Walaupun tidak ‘diceritakan’ perihal sebenar status beliau, namun secara umumnya netizen dapat mengagak apa yang cuba di sampaikan oleh Chang Kim.

Beliau yang merupakan bekas Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) sebelum ini mahu pihak tertentu atau rakyat bertindak ‘waras’.

“Saya bukan seorang menteri, timbalan menteri, atau ahli parlimen. Bagaimana saya boleh mungkir janji? Waraslah,” katanya.

Tulisan itu juga mendapat pelbagai reaksi, ada yang menyokong beliau, ada juga bertindak mengkritik malah terdapat juga yang tidak pasti hujung pangkal.

Ada juga dilihat menegur beliau sambil menyatakan walaupun tidak mempunyai sebarang kuasa sebagai Menteri atau Ahli Parlimen beliau sepatutnya dipertanggungjawabkan dengan apa yang berlaku disekelilingnya.

Juga tidak kurang yang menasihati beliau supaya cuba melakukan sesuatu sebelum terlambat memandangkan kerajaan PH masih lagi mempunyai empat tahun lagi untuk melakukan perubahan serta mempertahankan kedudukan.

Ada memintanya meletak jawatan sahaja atau meninggalkan DAP kerana banyak perkara yang menjadi laungan kini hanya tinggal slogan walaupun kuasa itu sudah berada dalam tangan.

Chang Kim bagaimanapun kelihatan terus berteka teki tanpa menceritakan mengapa status seumpama itu di muat naik dan dilihat ‘melayan’ beberapa kerat komen netizen.

Terdahulu, Chang Kim juga menulis di Facebook beliau, ‘tutup Lynas dan usir Zakir Naik’. – MalaysiaGazette