Suruhanjaya Sekuriti

KUALA LUMPUR – Lembaga Pemantauan Audit (AOB) Suruhanjaya Sekuriti Malaysia telah mendenda dan melarang Chengco PLT dan rakan kongsi auditnya daripada menerima mana-mana entiti kepentingan awam (PIE) atau kumpulan wang jadual sebagai pelanggan dan mengaudit penyata kewangan mereka selama 12
bulan.

Firma audit berkenaan dan rakan kongsi auditnya didapati mempunyai pelbagai kes ketidakpatuhan terhadap piawaian pengauditan antarabangsa, yang ditemui dalam dua pemeriksaan yang dijalankan oleh AOB masing-masing pada 2016 dan 2018. AOB juga mendapati firma itu telah gagal melakukan pembetulan
kepada pemerhatian berulang yang dikenal pasti ketika pemeriksaan pertama.

Oleh yang demikian, firma tersebut dan rakan kongsi auditnya, Hong Thuan Boon (Hong) dan Liew Kwai Choy (Liew), adalah dilarang daripada menerima mana-mana PIE atau kumpulan jadual sebagai pelanggan dan mengaudit penyata kewangan mereka selama 12 bulan.

Firma tersebut didenda sebanyak RM175,000 manakala Hong didenda sebanyak RM57,000. Hong dan Liew masing-masing merupakan rakan kongsi tugasan audit dan penyemak kawalan
kualiti tugasan audit.

Seorang lagi rakan kongsi audit firma, Yap Peng Boon (Yap), juga didenda sebanyak RM44,000 kerana tidak mematuhi prosedur
audit.

Firma tersebut, Hong, Liew dan Yap telah membuat rayuan kepada SC terhadap keputusan AOB.

Namun, SC menolak rayuan tersebut dan mengesahkan tindakan AOB.

Larangan terhadap firma, Hong dan Liew berkuat kuasa mulai 6 Ogos 2019. – MalaysiaGazette