Dr. Mohd Aluwi Sari
Dr. Mohd Aluwi Saari

KUALA LUMPUR – Sebanyak 22 Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) di Kedah membuktikan tulisan khat Jawi yang akan dilaksanakan dalam sistem pengajaran bagi murid Tahun 4 tahun depan tidak ada masalah.

Justeru, Biro Pendidikan Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) mengucapkan tahniah dan penghargaan dengan sikap keterbukaan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) bagi 22 sekolah berkenaan.

Pengerusinya, Dr. Mohd Aluwi Sari berkata, perakuan terbuka itu memperlihatkan komitmen komuniti India terhadap tulisan khat Jawi untuk dilaksanakan di seluruh PIBG SJKT di daerah Kuala Muda dan Yan.

“Kita puji sikap terbuka masyarakat India di dua daerah ini terutama kepada Pengerusi Tamil Foundation Kedah, G. Kumaran.

“Pandangan beliau selaku pengerusi sedikit sebanyak membantu minda murid SJKT mempelajari tulisan khat Jawi.

“Ini salah satu kaedah untuk mempelbagaikan ilmu dari setiap sudut yang pasti meningkat kemahiran para murid di peringkat sekolah rendah,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, hari ini.

Semalam, 22 Yang Dipertua PIBG SJKT daerah Kuala Muda dan Yan menyambut baik usaha Kementerian Pendidikan memperkenalkan warisan negara itu di peringkat sekolah.

Malah, G. Kumaran menganggap pembelajaran seni dan tulisan itu di sekolah adalah sebagai nilai tambah ilmu kepada generasi muda pelbagai kaum di negara ini, selain mampu memupuk hubungan baik sesama rakyat.

Katanya, semua pengurusan SJKT di daerah itu menyambut baik dan menyokong sebulat suara hasrat kerajaan untuk memperkenalkan seni khat dan tulisan Jawi di sekolah-sekolah berkenaan.

Dr. Mohd Aluwi yang juga Ahli Dewan Tertinggi (ADT) Putra berkata, tindakan yang diambil PIBG sekolah itu adalah petanda sebahagian masyarakat India terutama ibu bapa boleh menerima anak mereka mempelajari tulisan khat Jawi selain tulisan ibunda mereka.

“Kita berpendapat G. Kumaran lebih sesuai mengantikan M. Kulasegaran sebagai Menteri Sumber Manusia atau menteri yang kuat sikap prejudis serta emosi dan langsung tidak membantu membina bangsa negara.

“Seperkara perlu diingatkan kepada masyarakat India dan Cina bahawa tujuan Kementerian Pendidikan melaksanakan pembelajaran tulisan khat Jawi adalah untuk mendidik anak di peringkat sekolah sebagai aktiviti kemahiran kokurikulum pelajar,” katanya.

Beliau berharap, semua PIBG SJKT dan Cina (SJKC) di seluruh negara boleh menerima cadangan itu, bukan mempolitikannya secara tidak bertempat dan memalukan.

“Sebagai warganegara, fikiran sempit seperti ini harus dikikis dan berpeganglah pada pepatah, di mana langit dijunjung di situ bumi dipijak”. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here

Comment moderation is enabled. Your comment may take some time to appear.