Datuk Armand Azha Abu Hanifah
Armand Azha Abu Hanifah

KUALA LUMPUR – Walaupun UMNO sudah menjual semua kepentingan sahamnya di dalam akhbar Utusan Malaysia, namun ia tidak menghalang parti Melayu itu menyelamatkan lidah rasmi orang Melayu itu daripada tersungkur ke bumi.

Ketua UMNO Bahagian Subang, Datuk Armand Azha Abu Hanifah menegaskan, meskipun media itu hanya melaporkan hampir 5 peratus mengenai UMNO di dalam terbitannya, namun UMNO tetap membantu.

“Walaupun sudah jual saham Utusan dah lama, tapi atas dasar sayangkan Utusan, UMNO juga yang bantu.

“Sejak 9 Mei 2018 malah selepas UMNO jual saham dalam Utusan. Berita tentang UMNO jika kita kaji hanya dalam 5 peratus sahaja, Utusan lebih beri keutamaan kepada Pakatan.

“Tapi bila tertekan dan bermasalah, Pakatan tak bantu pun warga kerja, yang bantu tetap UMNO,” katanya dalam status terkini di akaun Facebook miliknya, hari ini.

Sebelum ini Utusan Melayu (Malaysia) Berhad berdepan risiko penutupan operasi sekiranya gagal menjual aset dalam tempoh beberapa minggu ini.

Presiden Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ) Malaysia, Mohd Taufek Razak berkata, syarikat akhbar itu memaklumkan jika aset-aset milik Utusan tidak terjual dalam tempoh terdekat ini, tidak ada jalan lain selain menutup operasi Utusan Malaysia.

Bagaimanapun syarikat akhbar itu berjaya dielakkan daripada dihentikan operasi apabila UMNO membuat suntikan dana bersih sebanyak RM1.6 juta ke dalam syarikat yang menerbitkan surat khabar Utusan Malaysia dan Kosmo itu, Selasa lalu.

Selain itu, kakitangan yang tidak mendapat gaji sejak tiga bulan lalu pula diberikan bayaran maksimum RM2,000 sebagai pendahuluan.

Armand juga mengingatkan kakitangan Utusan agar tidak terlalu melebihkan PH berbanding UMNO di dalam laporan mereka sedangkan ketika mereka dihimpit dalam kesusahan, parti pemerintah itu tidak pun mempedulikannya

“Jadi warga kerja Utusan, ingatlah siapa sahabat anda ketika susah…Janganlah asyik hentam dan kritik UMNO kerana nak nampak bersama Pakatan, kerana akhirnya Pakatan tak peduli pun..

“Tahniah Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi atas keprihatinan terhadap Utusan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette