Abdul Hadi Awang
Abdul Hadi Awang

KUALA LUMPUR – Pas menyerahkan kepada polis untuk menangani perhimpunan yang dianjurkan NGO bukan Islam bagi mendesak kerajaan Malaysia mengusir pendakwah terkenal, Dr. Zakir Naik ke negara asalnya di India.

Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, terpulang kepada pasukan keselamatan untuk menilainya sama ada perhimpunan itu menimbulkan ketegangan atau tidak.

“Itu terpulang kepada polis menanganinya sama ada perhimpunan boleh menimbulkan ketegangan atau tidak. Jika mereka boleh buat himpunan, kita boleh buat himpunan juga, sila dia buat dulu.

“Jika dia boleh buat, kita boleh buat dan Pas boleh buat (himpunan), tapi Pas tak buat lagi. Pas memilih pendekatan cara damai dahulu, biarkan kepada orang lain yang nak buat itu buatlah. Kalau kita rasa perlu buat juga, Pas akan kerah untuk buat,” katanya yang dipetik menerusi Harakahdaily hari ini.

Semalam, media melaporkan, polis akan mengambil tindakan tegas mengikut Akta Perhimpunan Aman 2012 jika penganjur berdegil meneruskan perhimpunan Say No To Zakir Naik, Equal Rights To Indians & Other Races di Water Fountain Little India, Brickfields di Kuala Lumpur hari ini.

Pemangku Ketua Polis Daerah Brickfields, Superintendan Arifai Tarawe berkata, penganjur sudah dinasihatkan tidak meneruskan perhimpunan itu kerana tidak memathui peraturan ditetapkan mengikut akta berkenaan.

Sehubungan itu, Abdul Hadi mengesyorkan penyelesaian isu kontroversi melibatkan pendakwah terkenal Dr, Zakir Naik dibincangkan secara akademik, bukan dengan cara tindakan politik persepsi.

Katanya, Pas melihat kemelut melibatkan Dr. Zakir hari ini berkait dengan akademik dan dakwah.

Justeru, katanya, penyelesaian secara akademik perlu dibuat, bukan bertindak secara politik serta persepsi yang dimainkan oleh parti politik dan media.

“Isu Dr Zakir Naik ini kita lihat berkait dengan akademik, dengan ilmiah, tetapi telah dipolitikkan. Pas memberi ruang kepada Dr Zakir Naik di Kelantan dan berlaku fitnah ini.

“Suasana polemik telah dicetuskan oleh parti politik dan media. Oleh itu, isu ini isu akademiki, isu dakwah. Maka, perlu ditangani secara akademik, secara demokratik sepatutnya.

“Demokrasi digalakkan dialog akademik itu yang perlu, bukan dialog politik. Sebab itu, kita bertegas isu Dr Zakir Naik perlu dipertahankan dan dihormati keilmuan dia, dan untuk hormat secara ilmu kena berdialoglah, bukan hantar balik,” katanya.

Menurut Abdul Hadi, jika Dr. Zakir dihantar balik ia menggambarkan ‘kebodohan’ dan kelemahan kerajaan.

Katanya, jika ada pihak berani berhujah sila berhujah dan itu yang sepatutnya.

Sehubungan itu, beliau menyambut baik penegasan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang kekal dengan keputusan tidak menghantar pulang Dr. Zakir ke India.

Menurutnya, keputusan itu tindakan yang bijak berdasarkan kepada hujah, bukan sentimen tertentu.

“Selepas mengadu kepada kerajaan agar tidak menganiaya pendakwah Islam itu, Pas akan mengadu kepada Allah.

“Kita telah mengadu kepada kerajaan supaya jangan aniaya Dr Zakir Naik ini kerana tidak boleh berhujah dengan dia. Selepas kita mengadu kepada kerajaan, saya minta supaya seluruh ahli Pas, seluruh pendukung Islam supaya mengadu kepada Allah Taala, buat solat hajat,” jelasnya. – MalaysiaGazette